fbpx
Saiz normal udang galah di Sungai Bernam (kiri). Inilah yang dicari-cari, si ‘jenggo’ sepit biru (kanan).

K2

Cungkil sepit biru Sabak Bernam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kebiasaannya, peman­cing udang galah akan meneliti tarikh yang paling sesuai dalam kalendar Hijrah. Ia bagi mengetahui jadual pasang surut air yang paling minimum sebelum menempah slot bot kosong untuk menarik si sepit biru di sungai-sungai berdekatan.

Terdapat ribuan pemancing ‘jenggo’ (panggilan untuk udang galah bersaiz kasar) di seluruh negara yang sentiasa mencuba lubuk-lubuk baharu sambil mencari kenalan bagi berkongsi pengalaman dan teknik terkini di setiap sungai yang diterokai.

Kali ini, saya ke pengkalan bot Cikgu Nan di pekan Sabak Bernam, Selangor untuk menduga udang galah dan ikan baung yang masih banyak di sana.

Perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Klang–Teluk Intan. Lokasi ini terletak be­tul-betul di sebelah balai bomba dan Hotel Grand Sabak.

Sampan pelbagai saiz, berbumbung atau tidak berbumbung boleh disewa dengan harga berpatutan.

Sampan-sampan ini boleh memuatkan dua atau tiga orang pemancing.

Suasana santai memancing udang galah di Sungai Bernam, Selangor.

Umpan udang beras dan perumpun nipah juga boleh ditempah terus dengan Cikgu Nan.

Selain itu, umpan cacing boleh digunakan di sini kerana baung juga gemar memagut umpan ini.

Peralatan pancing

Set pancing udang galah kategori ultralight paling sesuai digunakan di sini dengan mata kail udang bentuk ‘sabit’ dengan saiz dua hingga empat atau mata kail jenama Eagle Wave paket biru, saiz sembilan hingga 11.

Jika hendak mencari ikan baung pula, perlu guna mata kail Eagle Wave saiz 12 hingga 14.

Biasanya, pemancing di sini menggunakan lima atau enam batang joran sekali gus jika mencari udang galah.

Waktu yang sesuai memancing di sini adalah ketika air mati atau air kecil.

Ini kerana apabila arus sungai perlahan, masa memancing menjadi lebih lama dan udang pula kerap memakan umpan.

Lubuk udang

Biasanya, ‘jenggo’ sepit biru gemar berselindung di perdu pokok nipah di sepanjang lengkuk sungai ini.

Saiz yang diperolehi lebih besar berbanding memancingnya di kawasan alur sungai atau di reba-reba kayu.

Kebanyakan udang galah saiz besar diperolehi di kawasan pokok nipah yang redup dan mempunyai lubang-lubang di tubir tebing, walaupun air cetek kurang dari satu meter ketika air surut.

Selain itu, ‘jenggo’ juga boleh dipancing di kawasan alur sungai yang mempunyai lubuk paling dalam.

Jika di luar kawasan pokok nipah, kebanyakan udangnya bersaiz kecil tetapi amat galak menggetu umpan hingga tip joran tidak berhenti bergoyang. Cuma teknik dan masa menyembat joran yang tepat sahaja boleh menaikkan udang-udang bersaiz kecil ini.

Teknikal

Seperti biasa, mata kail diikat secara satu di atas dan satu lagi di bawah stail paternoster atau apollo. Ini bagi meningkatkan peratusan mendapatkan udang yang kadangkala culas mengambil umpan disuakan.

Campuran umpan ketika memancing juga boleh dicuba kerana udang di sini mempunyai nafsu makan yang bertukar-tukar.

Jika rajin, boleh penuh karung dengan udang galah.

Umpan killer biasanya adalah udang beras, tetapi kadangkala ketika air pasang, ia lebih gemar memakan umpan perumpun nipah.

Saiz udang yang dikail lebih besar jika menggunakan perumpun. Umpan ikan longkang atau ikan guppy juga boleh digunakan dan ia lebih tahan lama. Namun, kesukaran untuk mencari dan mendapatkannya menyebabkan kebanyakan pemancing menggunakan umpan udang beras sahaja.

Saranan daripada Cikgu Nan, kalau boleh turun awal dalam
pukul 7 pagi ketika cuaca mula cerah kerana udang galak di awal pagi dan akan kurang bernafsu semasa tengah hari, tetapi akan menjadi galak semula apabila lewat petang.

Pesannya lagi, berhati-hati memancing di sekitar sini kerana terdapat banyak perdu dan pelepah nipah hanyut semasa mengemudi bot dan ketika memancing di kawasan terbuka. Sebab itulah di sini tiada pemancing yang turun pada malam hari kerana bahayanya perdu nipah hanyut yang boleh berlanggar dengan bot tanpa disedari.

Memancing udang di Sungai Bernam mempunyai cabarannya yang tersendiri kerana keadaan sungai penuh reba dan nipah hanyut. Ia memerlukan kemahiran mengemudi bot yang baik dan anda juga harus pandai mencari lubuk udang.

Bagi yang tidak arif membawa bot, seeloknya sewa bot bersama tekong kerana mereka lebih mahir selok-belok kawasan dan mencari lubuk udang. Di sini masih mempunyai stok udang yang banyak kerana kurangnya penggunaan jaring dan bubu di sepanjang sungai.

Jika ada kelapangan hujung minggu, sambil singgah menikmati mentarang bakar di Sekinchan, anda boleh terus ke pekan Sabak Bernam untuk memancing udang galah di pengkalan Cikgu

Nan. Anda boleh memancing di jeti, tebing atau menyewa bot sambil menikmati suasana semula jadi yang damai dan menarik di sepanjang Sungai Bernam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN