PETALING JAYA – Beberapa pengusaha kecil yang mempunyai pekerja kurang lima orang menyatakan bahawa mereka masih belum berupaya untuk melaksanakan peraturan gaji minimum yang akan dikuatkuasakan pada 1 Ogos ini.
Perintah Gaji Minimum RM1,700 itu didakwa memberi bebanan kepada kepada syarikat dan pelanggan yang berurusan dengan mereka.
Seorang pengusaha taska di Selangor dan dikenali sebagai Fatimah, 48, berkata, dia terpaksa menaikkan caj bayaran semasa jika mematuhi arahan berkenaan bagi menampung bayaran gaji
itu.
“Jujurnya saya sebagai majikan masih tak boleh nak ikut kadar baru (gaji) itu. Kalau servis perkhidmatan begini, kami hanya harapkan bayaran daripada ibu bapa. Jadi nak ‘tekan’ mereka berlebihan sehingga RM700 ke RM800 kami tak sanggup.
“Bukan sahaja saya, rakan-rakan dari sektor sama pun tak mampu nak ikut kadar baru ni, malah ramai juga dah tutup sebab tak mampu menampung kos operasi untuk bayaran gaji pekerja sahaja,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, dia secara telus memaklumkan situasi semasa perusahaannya itu kepada para pekerja supaya mereka boleh membuat keputusan dan pilihan masing-masing untuk kekal berkhidmat atau tidak.
“Setakat ni kelima-lima pekerja tetap pilih untuk kekal bersama saya. Ada yang dah berkhidmat hampir 10 tahun tanpa sebarang rasa tidak puas hati dengan jumlah gaji yang telah saya jelaskan terlebih dahulu.
Fatimah berpendapat, pihak kerajaan perlu mempertimbangkan sektor perniagaan tertentu untuk dikecualikan daripada pelaksanaan berkenaan, bukan secara ‘pukul rata’.
Sementara itu, peniaga makanan dari Pantai Timur yang mempunyai empat orang pekerja dan dikenali sebagai Nurul, 36, berkata, dia masih belum bersedia untuk mematuhi peraturan gaji minimum.
“Pendapatan kini tak menentu, kos barang dan sewa tinggi, tapi jualan makin kurang. Kalau dipaksa bayar RM1,700, saya mungkin terpaksa buang pekerja atau tutup kedai,” ujarnya.
Seorang tukang kayu, Hafiz, 42, berkata, dia sedar adalah satu kesalahan sekiranya majikan tidak mematuhi peraturan gaji minimum, namun dia juga masih belum mampu untuk memenuhi tuntutan berkenaan.
“Saya sedar dan tidak mampu untuk membuat apa-apa. Mungkin saya akan membuat rayuan sekiranya dikenakan tindakan,” ujarnya.
Penetapan gaji minimum RM1,700 sebulan untuk majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih telah dilaksanakan pada Februari lalu
Sementara bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja pula, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos ini.














