fbpx
Ahli Kelab Dekosesaje dengan sebahagian daripada hasil trip.

K2

Santai Kelab Dekosesaje bersama bot Jefri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setahun sekali, tekong bot Jefri dari Kampung Batin Seberang Takir, Terengganu akan merizabkan satu trip memancing buat ahli Kelab Dekosesaje dari Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor untuk memancing di kawasan pelantar minyak. Kali ini, suasana meriah di atas bot pasti tidak akan dilupakan.

Dalam program meman­cing kali ini, kelab tersebut diberi ke­sempatan menyertai satu trip selama lima hari empat malam.

Sebelum memulakan perjalanan, ketua ekspedisi, Amran berpesan, apabila berada di atas bot, semua kena bekerjasama dan tinggalkan segala pangkat dan gelaran.

Yang paling penting, semua mesti saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Semangat ini saya dapat lihat sejak dari awal lagi, lebih-lebih lagi semasa bot tiba di unjam pertama untuk mencari umpan hidup.

Sebaik sahaja awak-awak bot menurunkan apollo, akan ada tiga orang yang membantu.

Seorang menanggalkan ikan dari mata kail, seorang mengutip ikan dan seorang lagi menghantar ke tempat penyimpanan ikan hidup.

Cukup sahaja umpan, kami beredar meninggalkan unjam menuju ke pelantar minyak Resap.

Pada pukul 10.30 malam, aktiviti pancingan bermula.

Mior yang pertama mendaratkan ikan jenahak, kemudian dia sekali lagi mendapat tarikan ikan cupak dengan kaedah pancingan separuh air.

Tidak mahu ketinggalan, Lan juga memperoleh ikan cupak dengan kaedah yang sama.

Namun pada malam pertama, ikan agak kurang makan, dan pada pukul 4 pagi, hujan selebat-lebatnya turun sehingga sauh tak berupaya lagi menahan tujahan arus, sebelum terlepas dari dasar.

Mujur ada antara kami yang sedar bot telah hanyut dan segera mengejutkan tekong.

Pada pagi itu, bot berpindah lubuk. Sebelum berpindah, Lan telah mengisytiharkan bahawa sesiapa dapat ikan terberat akan dihadiahkan wang tunai daripada kelab dan hanya untuk tempat pertama, tiada kedua dan seterusnya.

Saya dengan ikan belitong terberat yang berjaya memotong rekod Mior.

Hadiah adalah sebagai galakan untuk bersaing secara sihat dalam trip ini. Tidak kira apa spesies ikan dan tempoh tamat pertandingan adalah pancingan terakhir sebelum bot bergerak pulang.

Hari pertama, Mior mendominasi tempat pertama dengan tertewasnya ikan pisang seberat 6.84 kilogram (kg). Dia berjaya menduduki takhta tersebut selama empat jam sahaja, sebelum dipintas oleh saya dengan ikan belitung seberat 7.24kg.

Kami bagaikan berpesta di lubuk belitung ini menggunakan umpan selayang hidup dengan kaedah menghanyut tanpa batu ladung dan tak perlu guna perambut wayar, memadai dengan tali perambut 30 paun (lb).

Bagi sesetengah pemancing, ikan ini dianggap kelas kedua, namun tidak bagi kami kerana ia bakal dijadikan ikan masin. Selepas itu, ia akan dimasak lemak cili api bersama nanas, memang sedap sehingga menghirup kuahnya.

Selepas memperoleh kira-kira 30 ekor ikan belitung, kami berpindah ke lubuk lain pula.

Dua kali persinggahan di lubuk lain tidak mendatangkan hasil. Persinggahan di lubuk yang ketiga bertepatan dengan kedatangan malam. Tengah malam itu, Muszafar membuka tirai pancingan dengan ikan siakap merah bersaiz kasar berumpankan sotong segar yang ditangguk di tepi bot.

Pencarian ikan terberat masih diteruskan, dan Mior sekali lagi menduduki tangga teratas selepas berjaya memintas kedudukan saya dengan tertewasnya ikan pisang seberat 7.25kg dengan melabuhkan umpan di separuh air sahaja.

Dalam pada itu, Hairi memecah tawa ria dengan seekor ikan telinga gajah yang dicangkuknya setelah terlihat ia bermain-main di birai bot.

Lima minit kemudian, joran saya pula mendapat rentapan daripada kerapu. Malam semakin rancak dengan tarikan ikan cupak guna jig dan ikan ebek berumpankan sotong mati.

Tepat pukul 1 pagi, kemegahan Mior terpadam dengan naiknya ikan gerepoh seberat 9.5kg oleh Muszafar. Selepas itu, pelbagai spesies ikan turut didaratkan seperti jenahak, siakap merah dan jemuduk.

Juara
Keesokan paginya, selepas sarapan, tekong membongkar sauh dan bergerak menuju pelantar minyak East Piatu.

Hampir tiga suku hari kami di situ, tiada hasil baik yang diperolehi dan kami seterusnya bergerak ke pelantar minyak LHDP pula.

Di tempat ini, Iwan membuka tirai dengan memperolehi ikan ebek, seterusnya geng lain menaikkan ikan cupak dan jenahak.

Tengah malam itu, set pancing Poji yang berumpankan hirisan besar ikan tongkol melentur kuat. Pertarungan sememangnya padu dan tidak lama kemudian seekor ikan aruan tasik dinaikkan dengan berat 17.98kg, sekali gus meletakkannya sebagai juara tidak rasmi pada malam itu.

Selepas itu, ikan semakin kurang meragut umpan sehingga hari mula cerah. Selepas subuh, bot bergerak ke lubuk kapal karam sebagai lokasi pancingan terakhir.

Tidak banyak hasil yang diperolehi berbanding beberapa tahun lepas yang didominasi oleh ikan mayong. Sesi pancingan ditamatkan dan bot terus bergerak pulang ke jeti dengan Poji diumumkan sebagai juara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN