PETALING JAYA – Pengalaman dihalau dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa selain terpaksa berhutang untuk makan di warung berdekatan padang latihan menjadi antara kenangan pahit yang pernah dilalui seorang pemain bola sepak ekoran tidak mendapat gaji daripada pasukannya.
Pemain yang mahu dikenali sebagai Shamsul berkata, pengalaman itu dilalui ketika dia mewakili pasukan Piala Presiden Kelantan FA pada awal tahun 2000an dan bermain di posisi penjaga gol.
Bagaimanapun katanya, keperitan hidup ketika itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya dia bangkit sehingga mempunyai akademi bola sepak sendiri yang diuruskan bersama rakan-rakan.
“Semuanya bermula apabila saya membuat keputusan untuk menyarung jersi pasukan bola sepak tersebut selaku penjaga gol utama skuad Piala Presiden.
“Ketika itu, saya memang ada dengar berkenaan masalah gaji yang dihadapi oleh skuad senior, tetapi sebab terlalu minat dan sayangkan bola sepak, saya terima juga tawaran walaupun gaji pertama saya hanyalah sebanyak RM1,000.
“Setelah beberapa bulan bermain, masalah gaji pemain mula dihadapi oleh pasukan sehingga saya tidak menerima gaji selama enam bulan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Shamsul berkata, detik hitam dalam hidupnya bermula apabila rumah yang disewa sebanyak RM100 sebulan dikunci oleh tuan rumah gara-gara tunggakan sewa selama lebih empat bulan.
“Mahu tidak mahu, saya dan rakan-rakan lain terpaksa pecahkan tingkap dan bawa keluar semua barang-barang yang ada termasuk peti sejuk yang dibeli dengan bayaran secara ansuran,” katanya.
Ceritanya lagi, ada juga pemain bertaraf bintang yang terkesan dengan isu tunggakan gaji sehingga motosikal milik mereka ditarik bank.
Malah katanya, kebanyakan pemain yang berdepan isu kewangan menjadikan sebuah warung berhampiran padang latihan sebagai tempat untuk makan dan minum memandangkan premis berkenaan membenarkan mereka berhutang.
Seorang pemain bintang yang pernah mewakili pasukan di negeri utara tanah air pada tahun 2013 dikenali Abang Pi pula berkata, gaji tertunggak sebenarnya isu besar yang berlaku dalam kebanyakan pasukan dari dahulu hingga kini.
“Semangat untuk main memang tinggi, tetapi apabila tengok akaun bank, terus hilang semangat, Sampai satu tahap, kami terpaksa berkongsi kereta untuk ke padang latihan.
“Apapun, pengalaman inilah yang menjadikan kami lebih matang terutama dalam membuat perancangan hidup termasuk mencari sumber pendapatan lain dan tidak hanya bergantung kepada gaji sebagai pemain bola sepak,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan isu tunggakan gaji dalam kalangan pemain bola sepak bukanlah isu baharu, malah telah menjadi ‘barah’ yang merosakkan sistem liga tempatan selain menjejaskan periuk nasi ramai individu berbakat besar.
Dalam pada itu, bekas kapten Kelantan FA pada tahun 2003, Akmal Ahmad Tabari mengakui pemain-pemain ketika era awal tahun 2000 merupakan pemain yang mempunyai bakat dan semangat yang tinggi walaupun berdepan pelbagai isu termasuk masalah gaji.
“Bayangkan dengan gaji kecil, tetapi mereka masih bersemangat, gaji kecil ketika itu pun pengurusan tidak mampu bayar. Sedih kalau tengok keadaan pemain muda ketika itu, bakat dan kekuatan mereka masih baru dan patut digunakan.
“Selepas berjaya naik ke Liga Super, Kelantan FA telah mendapat pengurusan baharu dan ternyata pasukan itu berjaya sehingga mendapat semua piala domestik ketika itu.
“Hampir 95 peratus pemain yang ada dalam skuad emas Kelantan FA sekitar 2008 hingga 2013 adalah pemain kelahiran Kelantan, di situ buktinya bakat pemain-pemain negeri,” katanya.
















