‘Umur awak tua, tapi dalaman awak sihat. Dengan tenaga yang dimiliki juga bagus. Awak mampu berjoging selama dua jam’.
Itulah kenyataan suami kepada usahawan dan pempengaruh terkenal yang telah ‘menggegarkan’ portal-portal media sehingga menggunakan perbualan yang disiarkan secara langsung itu untuk dijadikan tajuk berita.
Maka ramailah netizen di alam maya tidak suka perkara itu apabila mereka menjadikan perbualan ‘peribadi’ antara suami isteri itu sebagai tatapan umum.
Bagi mereka perbualan suami isteri itu hanya patut diperkatakan dalam selimut sahaja bukannya secara siaran langsung untuk tontonan budak-budak hingga ke dewasa dan diulang siar pihak ketiga.
Susah betul menjadi orang terkenal kerana setiap tutur katanya dalam siaran langsungnya yang diikuti ribuan orang sentiasa akan menjadi tajuk berita.
Bukan media sengaja memperbesarkan siaran langsung suami isteri itu tetapi mereka boleh dikatakan selebriti, apa jua yang keluar dari mulut mereka adalah sumber berita.
Isu yang lagi besar yang menjadi kebimbangan kita di zaman Gen Z ini apabila semua tutur kata kita bebas diperkatakan di media sosial tanpa segan-silu.
Zaman ini bukan sahaja Gen Z selalu mengadu di media sosial tetapi generasi X, Y dan Z termasuk baby boomers juga sekarang membuka aib dan cerita dalam kain untuk tatapan umum.
Apabila kita hidup di zaman content (kandungan media sosial), rasa malu itu sudah tidak ‘mahal’ dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ada juga yang menjatuhkan talak ketika siaran langsung. Seram betul hidup zaman ini.
Ada yang kata juga tayang kebahagiaan itu tidak salah tetapi jangan sampai hilang malu kerana yang boleh melihat ‘kebahagiaan’ dan aib itu akan kekal di alam maya sehingga akhir hayat dan sukar di padam hingga anak cucu kita.
Sebab itu juga lah ramai pesalah yang telah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman telah merayu kepada media untuk dipadamkan berita mengenai liputan kes mereka.
Ramai mahu melupuskan kisah hitam mereka kerana mahu mulakan kehidupan baru.
Maaf, kalau semua mahu lupus kisah silam yang sudah tertulis di mahkamah memang habislah laman web kami, akan tiada berita kerana semua mahu dipadam.
Ada yang membawa surat peguam (acah-acah ugutan) mahu memadamkan berita kisah mahkamah mereka yang berlaku 10 tahun lalu kerana anak-anak malu apabila berita itu disiar di carian enjin.
Mereka juga malu dan sukar mendapat kerja apabila ada majikan yang Google nama mereka dan tahu kisah silam.
Sebab itu lah kita kena ada ‘rasa’ malu atas segala perbuatan kita sekarang kerana ia akan kekal dalam carian enjin untuk selama-lamanya.
Kalau kita marahkan generasi Gen Z membuat perkara-perkara tidak masuk akal, generasi lain juga patut malu kerana mereka juga melakukan perkara yang sama.














