fbpx
JEJAKA berasal dari Klang ini (duduk dua dari kanan) aktif menyertai pelbagai program kesukarelawanan.

K2

Syafi raih lima anugerah di Konvokesyen UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM era globalisasi dan digitalisasi, kejayaan akademik bukan lagi ukuran tunggal dalam menilai kehebatan seorang graduan.

Kecemerlangan yang sejati merangkumi gabungan ilmu pengetahuan, nilai kepimpinan dan sumbangan bermakna kepada masyarakat. Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin, 22, graduan Diploma Komunikasi dan Media dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka telah membuktikan bahawa kejayaan holistik adalah hasil keikhlasan, ketekunan dan komitmen tinggi terhadap pembelajaran serta perkhidmatan sosial.

Baru-baru ini, dia berjaya mencipta sejarah tersendiri dengan meraih lima anugerah utama pada Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-101, sidang ke-11. Anugerah yang diraihnya merangkumi Anugerah Khas Graduan Terbaik UiTM Cawangan Melaka, Anugerah Graduan Terbaik Program Diploma UiTM Cawangan Melaka, Anugerah Graduan Terbaik Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Peringkat Diploma, Anugerah Graduan Terbaik Program Diploma Komunikasi dan Media dan Anugerah Naib Canselor.

Anugerah yang diterima itu menjadikannya sebagai figura inspirasi bukan sahaja dalam kalangan pelajar UiTM tetapi juga komuniti akademik Malaysia secara keseluruhan. Syafi berkata, dia gembira kerana penat lelahnya menuntut ilmu terbalas apabila menerima anugerah tersebut.

“Saya percaya setiap kebaikan yang kita lakukan hari ini akan membuahkan hasil, sama ada cepat atau lambat.

“Apa yang yang penting, kita terus memberi tanpa mengharap balasan, kerana balasan itu pasti akan datang dalam bentuk yang kita tidak sangka,” katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Kejayaan Syafi bukan sekadar tercermin daripada keputusan akademik semata-mata tetapi juga melalui sumbangan aktifnya dalam pelbagai bidang sepanjang pengajian. Dia memegang jawatan penting seperti Presiden Jawatankuasa Sukan Pelajar UiTM Alor Gajah dan Presiden Kelab Kewartawanan Muda UiTM Melaka yang membuktikan kepimpinan dan kematangannya dalam mengurus dan memimpin rakan sebaya.

SYAFI berjaya meraih lima anugerah utama pada Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-101 baru-baru ini.

Pengalaman ini menjadi platform pembelajaran sosial yang mengajar Syafi erti empati, tanggungjawab dan kerjasama. Nilai-nilai seperti ini sangat penting dalam membentuk seorang graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga mampu memberi impak positif kepada masyarakat. Kini, sebagai mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan di UiTM Shah Alam, Syafi terus mengekalkan semangat keterlibatannya melalui peranan sebagai Presiden Briged Sukarelawan.

Baru-baru ini, dia menamatkan misi sukarelawan bersama Yayasan Sukarelawan Siswa di Sabah, pengalaman tersebut memperkaya perspektifnya mengenai keperluan komuniti terpinggir dan pentingnya kehadiran fizikal serta emosional dalam aktiviti kebajikan.

“Pengalaman menyertai aktiviti sukarelawan di Sabah memberikan saya peluang melihat kehidupan dari sudut pandang yang berbeza.

“Bantuan yang diberikan bukan sahaja soal material tetapi apa yang lebih penting adalah kehadiran yang memberikan harapan baharu kepada komuniti yang terpinggir,” jelasnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang wartawan.

SYAFI yakin kecemerlangan akademik dan pembangunan kemahiran sosial perlu berjalan seiring.

Sebagai Presiden Briged Sukarelawan UiTM Shah Alam, Syafi merancang pelbagai inisiatif yang berimpak tinggi, bukan sahaja untuk manfaat komuniti kampus tetapi juga masyarakat luar. 

Dia percaya bahawa kejayaan sebenar bukan untuk dikejar secara peribadi tetapi untuk dikongsi bersama.

“Keikhlasan adalah kuncinya. Apabila kita lakukan sesuatu dengan sepenuh hati, Tuhan akan hadirkan kemanisan dalam pelbagai bentuk,” ujarnya.

Selain itu, dia juga pernah menyertai program Santuni Madani & Jelajah Peduli Ummah bersama pihak Cinta Gaza Malaysia sebagai sukarelawan.

Syafi yakin bahawa kecemerlangan akademik dan pembangunan kemahiran sosial perlu berjalan seiring.

“Jangan takut untuk aktif dalam persatuan atau kelab.

“Zaman universiti bukan sekadar untuk mengejar skor peperiksaan tetapi untuk mencari nilai tambah dalam diri sendiri,” pesannya kepada para pelajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN