TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu mencetuskan pelbagai perubahan dalam rutin harian masyarakat.
Masyarakat mula mencari hiburan alternatif dan antara yang paling popular ialah mengikuti trend di media sosial seperti TikTok.
Bagi Nur Tatiana Danisha Abdul Muhaimin, tempoh tersebut menjadi titik tolak untuk mula meneroka bakatnya dalam bidang tarian.
Semuanya bermula apabila bapa saudaranya mencadangkan agar remaja yang mesra dipanggil Taty itu menyertai kelas menari.
Menurut Taty, latihan tarian pertamanya adalah bergenre hip-hop sebelum dia mula mempelajari genre lain seperti tarian tradisional, locking dan breaking.
“Pak cik saya perasan bahawa saya lincah menari di hadapan TikTok dan mencadangkan supaya saya menyertai kelas tarian.
“Pada mulanya, saya hanya menyertainya secara suka-suka. Tapi lama-kelamaan, ia menjadi satu aktiviti kegemaran saya,” katanya kepada K-Remaja.
Kini, remaja berusia 14 tahun itu merupakan antara penari cilik yang menerima pengiktirafan sebagai rising star dalam program Zeppo Dance.
Taty mula menyertai Zeppo Dance secara rasmi pada tahun 2024 dan meletakkan pengasas serta pengarah Zeppo Youngsterz, Faris Azim, sebagai idolanya.
Ini kerana jejaka berusia 26 tahun itu mempunyai keupayaan menyampaikan emosi melalui gerakan tarian, sekali gus menawan hati penonton.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa itu turut pernah menari dalam beberapa iklan seperti Motherhood dan Dexandra.

Malah, dia pernah terlibat dalam sebuah persembahan tarian bersama komuniti penari sempena pembukaan butik Skechers di Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur.
Menurut Taty, kebiasaannya dia memerlukan sekitar 30 minit untuk memahami dan menghafal pergerakan asas sebelum mempersembahkannya.
“Saya sering berlatih di rumah selepas pulang dari sekolah, memperuntukkan masa antara pukul 2 hingga 6 petang untuk mengulang kaji koreografi terdahulu sambil mendengar muzik.
“Bagi tugasan sekolah, saya akan pastikan semuanya disiapkan di sekolah supaya saya boleh memberi tumpuan kepada hobi saya pada waktu petang,” jelasnya.
Dari kaca mata anak bongsu daripada dua beradik tersebut, menari bukan sekadar seni pergerakan tetapi juga merupakan satu bentuk terapi yang membantunya meluahkan perasaan melalui gerakan.
Sebagai seorang remaja yang masih bersekolah, Taty turut menghadapi cabaran seperti terlepas sesi latihan dan perlu mengejar koreografi yang tertinggal.
Namun begitu, Taty belajar mengatasi cabaran tersebut dengan meminta bantuan rakan dan meluangkan masa sendiri untuk memahami gerakan secara perlahan-lahan.
Taty berharap dapat terus mengembangkan kemahirannya dalam bidang tarian dan menyertai lebih banyak pertandingan peringkat antarabangsa pada masa hadapan.
“Setakat ini, saya masih belum menyertai mana-mana pertandingan tarian tetapi saya sangat berminat untuk melangkah ke arah itu suatu hari nanti.
“Oleh itu, saya perlu perkemaskan lagi teknik tarian dan menimba lebih banyak pengalaman melalui aktiviti persembahan yang saya sertai,” katanya.














