BACHOK – Bahagian depan spa dan salun kecantikan milik mangsa yang parah disimbah asid di Beris Kubur Besar di sini kelmarin, pernah disimbah cecair hampir sama kira-kira dua minggu sebelum serangan tersebut.
Sumber terdekat dengan mangsa yang enggan dikenali berkata, pemilik spa itu, Nor Faziera Muda, 27, sempat berpesan kepada orang ramai termasuk rakan-rakan wanita agar berhati-hati dengan kejadian itu.
Menurutnya, mungkin ada individu yang tidak senang dengan perniagaannya sehingga sanggup menyimbah asid dan menyebabkan kecederaan kepada Nor Faziera.
“Adat berniaga. Mungkin ada yang tidak senang dengannya, tetapi tidak sangka pula sampai sanggup ada yang menyimbah asid.
“Setahu saya, Nor Faziera tiada musuh dalam perniagaan. Berkemungkinan ada yang tidak senang dengannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Beris Kubur Besar di sini hari ini.
Sementara itu, suami mangsa, Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata, dia tidak dimaklumkan oleh isterinya tentang kejadian yang berlaku di kedainya sebelum ini.
Katanya, dia hanya mengetahui selepas kejadian yang menimpa isterinya kelmarin.
“Saya tidak mahu menuduh sesiapa. Nor Faziera juga tidak memaklumkan kepada saya kejadian yang berlaku di premisnya kira-kira dua minggu lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE