LANGKAWI – Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) membawa rezeki buat peniaga apabila masing-masing mula merancang untuk menambah jualan sebagai persediaan kedatangan pengunjung bermula esok.
Tinjauan di Pantai Kuala Muda, di sini mendapati, rata-rata peniaga menjangkakan pengunjung akan meningkat.
Menurut Penyelia Laksa Power, Muhammad Nabil Aiman Muhammad Normiza, 23, berkata, biasanya mereka akan menambah kuantiti makanan sebanyak dua kali ganda.
“Musim LIMA kami boleh jual sehingga 50 kilogram laksa sehari berbanding hanya 20 pada hari biasa,” katanya.
Seorang lagi peniaga minuman di Kampung Padang Wahid, Fazlinda Zainol, 26, berkata, ini kali pertama dia berniaga sempena LIMA.
“Saya biasa berniaga tetapi sejak berpindah ke Langkawi dari Naka ini adalah kali pertama saya cuba untuk berniaga semula.
“Kedudukan tapak gerai saya ketika ini adalah tempat orang ramai akan berkumpul bagi menyaksikan persembahan LIMA, jadi pastinya saya akan mendapat pelanggan yang ramai,” ujarnya.
Sementara itu seorang lagi peniaga yang menyediakan perkhidmatan menunggang kuda di Pantai Kuala Muda, Osman Harun, 25, berkata, dia berharap limpahan pengunjung akan membawa lebih banyak pelanggan.
“Biasanya kawasan ini akan menjadi tumpuan kerana terletak bersebelahan landasan lapangan terbang. Sudah pasti ramai orang akan berkumpul bagi menyaksikan persembahan udara,” katanya.














