IPOH – Perak sedia mempertimbangkan secara serius mewujudkan kursus-kursus komprehensif bersama agensi kerajaan negeri dan persatuan belia berkaitan pekerjaan sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang mampu menjana pendapatan stabil kepada golongan belia.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, golongan belia mungkin kurang terdedah mengenai pekerjaan sektor itu yang menyebabkan mereka tidak menyedari ruang dan peluang dari segi penjanaan ekonomi serta pendapatan.
“Kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perak, persatuan belia dan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) menyediakan kursus-kursus berkaitan 3D (pekerjaan).
“Ini dalam agenda Perak Sejahtera 2030 iaitu memperkasa modal insan khususnya golongan belia,” katanya di Kompleks Belia dan Sukan negeri di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Sambutan Hari Belia Negara dan Anugerah Belia Perdana Peringkat Negeri Perak 2025 yang diadakan secara konsisten setiap tahun tanpa gagal. Yang turut hadir, Pengarah JBS Perak, Nor Azah Ahmad Dahalan dan Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhammad Puhaz Salleh.
Khairudin berkata, kursus berkaitan sektor 3D merupakan satu elemen yang perlu difikirkan.
“Sektor 3D ini boleh menjana pendapatan kepada belia. Mungkin dari segi pendedahan, penerimaan mereka tidak nampak ruang dan peluang. Mereka kurang mengetahui saluran atau rangkaian yang boleh diguna bagi memastikan elemen sektor 3D itu menjana pendapatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE