PETALING JAYA – Perkhidmatan bergerak dari rumah ke rumah kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, sekali gus membuka peluang pendapatan yang fleksibel dan lumayan kepada ramai individu.
Pelbagai perkhidmatan ditawarkan secara terus di depan pintu rumah pelanggan, termasuk gunting rambut, urutan, cuci kenderaan, servis penghawa dingin, membaiki peralatan elektrik serta rawatan kecantikan.
Ada antara mereka yang menawarkan servis itu mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM15,000 sebulan kerana tidak perlu menanggung pelbagai kos seperti sewa kedai dan bayaran bil utiliti.
Muhammad Yazid Uzairy Ahmad Roshidi, 35, berkata, servis mencuci kerusi kereta, sofa dan tilam dari rumah ke rumah di Lembah Klang yang disediakannya semakin berkembang pesat sejak mula diusahakan enam tahun lalu.
Katanya, selepas diberhentikan kerja sebagai pengurus pakaian ketika pandemik Covid-19, dia berusaha mencari alternatif lain bagi menampung perbelanjaan keluarga sehinggalah tercetus idea untuk membeli sebuah mesin pembersih penyedut berkuasa tinggi.
“Sejak itu, saya mula iklankan servis dari rumah ke rumah. Dahulu boleh kata sebulan 10 hingga 15 tempahan tetapi kini sehari dalam lima ke enam tempahan selepas dipromosikan di media sosial.
“Setiap bulan anggaran pendapatan kasar saya RM10,000, paling banyak saya pernah dapat RM15,000 sebulan. Pada musim perayaan, tempahan tak menang tangan.
“Di kampung isteri saya di Bachok pun saya dapat tempahan dan melakukannya apabila saya balik kampung,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Bapa dua anak yang menetap di Cheras itu berkata, perkara utama yang mendorongnya untuk bekerja keras kerana anak sulungnya yang menghidap cerebral palsy memerlukan kos perubatan yang besar.
“Sebab itu juga saya pilih untuk sediakan servis ini kerana tidak mahu terikat dengan majikan. Saya lakukan kerja ini seorang diri,” katanya.
Bagi sepasang suami isteri yang menetap Setia Alam, Shah Alam pula, perkhidmatan servis dan baik pulih motosikal berkuasa tinggi secara bergerak menjadi sumber pendapatan tetap mereka.
Menurut Sofea Adilla Shamsul Rizal, 24, dia dan suaminya, Mohamad Zaidi Zakaria, 24, meraih pendapatan kasar sehingga RM10,000 sebulan selepas mendapat permintaan tinggi setiap hari.
Ibu dua anak itu berkata, sebelum ini suaminya memiliki pengalaman hampir lima tahun dalam membaiki dan menaik taraf motosikal berkuasa tinggi.
Katanya, suaminya itu kemudian bergerak secara kecil-kecilan dengan menawarkan servis penyelenggaraan asas.
“Kebanyakan pelanggan kami adalah mereka yang sibuk bekerja, tiada masa untuk hantar motor ke bengkel dan tunggu lama.
“Jadi apabila mereka tahu kami sediakan servis macam ini, memang mereka minta kami datang atau kami ambil motosikal mereka dan servis di rumah kami,” ujarnya.
Seorang lagi pemuda yang menyediakan servis gunting rambut bergerak, Muhammad Khairin Hassan Hassari, 26, berkata, dia mula menawarkan perkhidmatan itu sejak beberapa bulan lalu bagi menampung komitmen terutama selepas berkahwin.
Walaupun masih baharu, Muhammad Khairin yang menetap di Ampang, Selangor berkata, dia menawarkan harga serendah RM25 bagi potong rambut dewasa.
Di Kuala Terengganu, seorang pemuda gigih mencari pendapatan sampingan dengan menyediakan perkhidmatan gunting rambut bergerak sejak dua tahun lepas.
Muhammad Irfan Fikry Ismail, 22, berkata, jumlah pelanggannya sehari pernah mencecah 11 orang dengan meraih pendapatan lebih RM800 sebulan.
Graduan bidang Seni Reka Gaya Rambut dari GiatMara yang pernah tular di media sosial ini berkata, kebanyakan pelanggannya merupakan orang yang kesuntukan masa untuk pergi ke kedai.














