fbpx
NUR AFIFAH (dua dari kanan) bersama rakan-rakan seperjuangan di UM.

K2

Nur Afifah impi jadi peguam hak asasi manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYERTAI program kesukarelawanan membuatkan Nur Afifah Ahmad Damanhuri, 21, lebih prihatin dengan nasib yang menimpa orang sekelilingnya. Disebabkan itu, dia menyimpan cita-cita besar untuk membantu ramai orang yang dalam kesusahan.

Pelajar tahun kedua, Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (UM) itu mengakui, sebelum ini dia lebih suka bermain permainan video dan memberi fokus kepada pembelajaran.

Namun, semuanya berubah selepas dia mengikuti program sukarelawan membersih rumah orang tua ketika melanjutkan pengajian di Asasi Universiti Teknologi Mara, Kampus Dengkil, Selangor.

“Ketika itu saya berasa sangat puas kerana dapat bantu membersihkan rumah orang-orang tua sambil menyantuni serta mendengar kisah hidup mereka. 

“Dari situ, saya belajar bahawa ramai yang memerlukan bantuan dan perhatian daripada kita.

“Di samping itu, ibu saya yang bertugas sebagai doktor juga sangat memberi inspirasi dan menjadi idola saya dalam kerja-kerja kesukarelawanan,” ujar anak keempat daripada lima beradik itu.

Setelah melanjutkan pengajian di UM, Nur Afifah semakin serius dalam kerja-kerja kesukarelawanan dengan menyertai pelbagai program yang dianjurkan oleh Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) dan fakultinya.

Dia yang kini merupakan Pengarah Projek Semarak Prihatin ASTAR (SPARK) UM giat melaksanakan program yang memberi fokus kepada Orang Asli dan kanak-kanak istimewa.

NUR AFIFAH merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di UM.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa bertanggungjawab untuk membantu memperjuangkan hak Orang Asli terutama dalam isu diskriminasi dan eksploitasi tanah. Malah, hal ini sangat dekat dengan kes-kes yang saya belajar.

“Bagi kanak-kanak istimewa pula, saya mahu mengajak lebih ramai orang menyantuni dan mendekati mereka, di samping menghulurkan bantuan bagi meringankan beban,” ujar gadis berasal dari Alor Setar, Kedah itu.

Mengulas lanjut mengenai projek-projek yang dilaksanakan oleh SPARK, Nur Afifah memberitahu, pada Disember lalu, dia dan pasukannya menyantuni Orang Asli di Bukit Lanjan, Selangor untuk membuat persiapan sambutan Hari Moyang.

“Banyak perkara baharu yang kami belajar di sini seperti budaya, tarian sewang dan permainan tradisIonal kerchang.

“Kami juga dedahkan anak-anak Orang Asli dengan pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Mereka sangat teruja dapat belajar,” katanya.

Selain itu, Nur Afifah tidak dapat melupakan pengalaman bersama kanak-kanak istimewa ketika menyantuni mereka di Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa Insan (PKII).

“Pada awalnya, saya berpandangan tempat ini hanya dihuni oleh kanak-kanak istimewa, rupa-rupanya di situ juga menempatkan orang dewasa yang mempunyai mentaliti budak-budak.

NUR AFIFAH
aktif melakukan kerja-kerja sukarelawan
di rumah kebajikan.

“Penghuni di sini bermula dari usia kanak-kanak sehingga 40 tahun. Mereka sangat seronok mengikuti aktiviti yang kami sediakan seperti melukis dan mewarna,” katanya yang telah menyertai lebih 50 program kesukarelawanan.

Sementara itu, mengulas mengenai kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab sosial, Nur Afifah berkata, orang kita bukan tidak peduli, namun mereka rasa belum mampu untuk membantu individu lain.

“Kesedaran mengenai tanggungjawab sosial masih kurang kerana kita merasakan untuk melakukan sesuatu yang hebat, kita kena jadi orang hebat dulu.

“Sebenarnya, kita tidak perlu menjadi orang luar biasa untuk melakukan sesuatu yang bermakna,” katanya yang turut mengintai peluang menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas ini.

Menurut gadis berketinggian 156 sentimeter itu, sejak menyertai program kesukarelawanan, dia menjadi lebih empati, sabar dan memahami kesusahan orang lain. 

Dia juga mahu melihat orang lain gembira, berjaya dan keluar daripada kemiskinan. Sehubungan itu, dia bercita-cita menjadi peguam hak asasi manusia pada masa depan.

“Saya juga mahu terlibat secara langsung untuk menambah baik undang-undang dan dasar holistik terutamanya berkaitan Orang Asli,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN