BEIJING – Seorang pakar bedah dipecat daripada Parti Komunis China kerana didakwa menjalin hubungan sulit dengan beberapa perempuan simpanan, lapor portal berita South China Morning Post hari ini.
Isteri doktor itu mendedahkan perbuatan suaminya dan mendakwa dalam beberapa kes, hubungan sulit tersebut membawa kepada kehamilan dan pengguguran bayi.
Surat makluman mengenai kecurangan Xiao Fei itu tular di media sosial. Dia ialah doktor kanan jabatan pembedahan dada Hospital Persahabatan China-Jepun yang merupakan sebuah institusi awam utama di Beijing.
Surat yang ditulis oleh isterinya bernama Gu, yang juga seorang doktor dari hospital terkemuka lain, mendedahkan salah laku dalam kehidupan peribadi dan profesional Fei.
Ia mendorong majikan doktor tersebut mengeluarkan kenyataan pada 27 April lalu menyatakan bahawa berdasarkan siasatannya, tuduhan terhadap Fei dalam surat Gu adalah benar.
Hospital Persahabatan China-Jepun berkata, pihaknya memutuskan untuk memecat Fei dan menyingkirkannya daripada parti komunis.
Fei, 39, dan Gu mempunyai seorang anak perempuan.
Menurut isterinya, si suami mula menipunya pada 2019 selepas menjalin hubungan dengan seorang jururawat, bernama Shi, di jabatannya sendiri. – AGENSI