SEBERANG PERAI – Tindakan pemandu kereta jenis Honda City berhenti secara mengejut menjadi punca kemalangan membabitkan 14 kenderaan termasuk dua motosikal di Kilometer 11 Lebuh raya Butterworth – Kulim (BKE) arah Butterworth di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 7.10 pagi.
“Siasatan pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta jenis Honda City memberhentikan kenderaan secara mengejut kerana kesesakan lalu lintas di hadapan.
“Pemberhentian mengejut itu menyebabkan berlakunya perlanggaran bahagian belakang kereta-kereta lain.
“Ia kemudian disusuli dengan perlanggaran sesama sendiri antara dua buah motosikal yang berpunca daripada salah seorang penunggang yang sedang leka melihat kemalangan tersebut,” katanya di sini, petang ini.
Insiden terbabit menyebabkan lapan pemandu kereta serta kedua-dua penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan ringan.
Katanya, masing-masing dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kes terbabit disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). -KOSMO! ONLINE














