fbpx
DEANA EMALYN sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

K2

Deana Emalyn jadikan Neelofa idola usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WANITA dan fesyen sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.

Ramai wanita suka berfesyen kerana ia menjadi salah satu cara untuk mereka mengekspresikan diri.

Maka tidak hairanlah permintaan terhadap produk fesyen pada ketika ini amat tinggi dan ramai mengambil peluang untuk menjadi usahawan dalam bidang tersebut.

Begitu juga buat Deana Emalyn Faizal Ashraf, 23, yang memiliki hasrat untuk menjadi usahawan dalam bidang fesyen.

“Menjadi lumrah untuk wanita meminati fesyen dan saya juga sama, setelah tamat pengajian saya akan cuba untuk berjinak-jinak menjadi usahawan dalam fesyen.

“Saya bercadang untuk menghasilkan baju, tudung dan selendang dengan jenama sendiri,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tambahnya, ketika ini dia akan fokus untuk tamatkan pengajian terlebih dahulu dan kemudian baru akan mengejar cita-cita menjadi seorang usahawan.

Dalam pada itu, Deana Emalyn berkata, daripada pemerhatiannya permintaan terhadap produk fesyen akan sentiasa ada.

Malah, ketika ini untuk memasarkan dan menjual produk-produk tersebut juga lebih mudah kerana adanya platform-platform e-dagang.

Melihat akan potensi besar di dalam bidang fesyen menyebabkan dia nekad untuk menjadi usahawan dalam bidang tersebut.

“Kita lihat wanita terutamanya, setiap hari mereka akan menggayakan tudung dan baju yang berbeza.

“Jadi, permintaan untuknya selalu ada dan saya melihat ada peluang yang besar untuk saya menjadi usahawan dalam bidang fesyen,” jelasnya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Di dalam bidang fesyen dia menjadikan Neelofa sebagai idola kerana kagum melihat artis popular itu membangunkan jenama fesyennya sendiri.

KELUARGA memberi sokongan penuh kepada Deana Emalyn untuk menceburi bidang keusahawanan.

Sementara itu, Deana Emalyn menjelaskan, meskipun dia memilih belajar dalam bidang perakaunan dia lebih suka untuk menjadi usahawan.

Ini kerana, dirinya seorang yang extrovert dan suka bergaul dengan ramai orang.

Jika memilih bekerja di dalam bidang perakaunan dia mungkin akan banyak menghabiskan masa di dalam pejabat.

Sebaliknya, jika menjadi usahawan dia akan dapat berjumpa dengan lebih ramai orang.

“Sebenarnya, bidang perakaunan ini juga penting apabila saya memilih untuk menjadi usahawan.

“Belajar dalam bidang ini memberi kelebihan kepada saya untuk menguruskan sendiri akaun syarikat yang saya usahakan,” terangnya.

Deana Emalyn mengakui untuk menjadi usahawan fesyen dia harus melengkapkan diri dengan beberapa kemahiran lain.

Oleh yang demikian, dia mengambil keputusan untuk menghadiri kursus-kursus jangka pendek yang bersesuaian untuk menjadi usahawan dalam bidang fesyen setelah tamat pengajian kelak.

Malah, ibu bapanya turut memberi sokongan kepadanya untuk menjadi usahawan dalam bidang fesyen.

“Kedua-dua ibu bapa saya sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk terlibat dalam bidang ini.

“Malah, ayah sendiri menyatakan dia sanggup membantu dari segi kewangan jika saya tidak cukup modal untuk menjadi seorang usahawan,” jelasnya.

Dalam pada itu, setiap orang pasti mempunyai cara tersendiri untuk mengisi kekosongan pada waktu lapang.

Bagi Deana Emalyn, dia suka untuk menerokai benda-benda baharu jika ada kelapangan.

Malah, ketika cuti semester dia akan pergi mengambil kursus-kursus jangka pendek yang boleh memberikan ilmu pengetahuan kepadanya.

“Sebagai contoh, saya ada menghadiri kursus jangka pendek tentang bagaimana untuk menjana pendapatan melalui platform eBay.

“Selain itu, saya juga belajar untuk melabur di Bursa Malaysia kerana di dalam bidang pengajian saya ada subjek pelaburan sebagai cara untuk menjana pendapatan.

“Kami pelajar diberi masa selama 14 minggu untuk melabur dan lihat berapa keuntungan yang kami boleh dapat,” terangnya.

Selain itu, di kampus Deana Emalyn juga menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung untuk Majlis Perwakilan Kolej, Kolej 12.

Melalui penglibatan di dalam majlis tersebut secara tidak langsung dia dapat belajar sesuatu yang tidak dapat di dalam kelas.

“Di sini saya dapat belajar banyak benda dari segi komunikasi dengan pihak luar, belajar tentang protokol untuk menguruskan program-program besar dan belajar membina rangkaian perhubungan.

“Pengalaman ini penting dan mungkin saya guna apabila telah tamat pengajian kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN