PERUBAHAN iklim bukan lagi suatu ramalan saintifik yang jauh daripada realiti. Ia kini dirasai dengan nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Cuaca yang sukar dijangka, musim tengkujuh yang melampau, dan suhu harian yang semakin panas bukan sahaja mengganggu rutin, malah mengancam keselamatan dan ekonomi negara.
Pada tahun 2024 sahaja, Malaysia merekodkan kerugian sebanyak RM933.4 juta akibat banjir, meningkat daripada RM755.4 juta pada 2023.
Kerugian ini bersamaan dengan 0.05 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal. Ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kepada kehilangan harta benda, tempat tinggal, dan kestabilan hidup.
Kajian antarabangsa turut menunjukkan bahawa negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, berisiko kehilangan sehingga 46 peratus daripada KDNK menjelang akhir abad ini sekiranya suhu bumi meningkat 3 darjah Celsius.
Apa yang lebih membimbangkan adalah perubahan iklim sedang merubah ekosistem ekonomi dan sosial kita secara senyap.
Sektor pertanian misalnya, kini berdepan tekanan besar apabila pola hujan yang tidak menentu menjejaskan hasil tanaman.
Dr. Saiful Irwan Zubairi dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyifatkan situasi ini sebagai satu bentuk ‘ancaman terhadap jaminan makanan negara’.
Perubahan iklim memberi kesan langsung kepada pengguna melalui peningkatan kos sara hidup, gangguan bekalan makanan, dan keperluan untuk menyesuaikan gaya hidup.
Apabila harga makanan dan barangan keperluan meningkat, rakyat terpaksa mengubah corak pembelian dan cara hidup.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, penggunaan elektrik dan air perlu lebih cermat terutama ketika musim panas panjang dan kemarau yang menjejaskan bekalan.
Malah, rakyat juga semakin cenderung memilih produk yang tahan lama, jimat tenaga dan mesra alam. Perubahan gaya hidup ini berlaku bukan sekadar atas dasar kesedaran alam sekitar, tetapi sebagai satu bentuk penyesuaian kepada realiti baharu yang tidak dapat dielakkan.
Kajian oleh NielsenIQ (2023) dan PwC (2024) menunjukkan pengguna global semakin mengambil berat tentang kelestarian dan sanggup membayar lebih untuk produk mesra alam.
Menurut tinjauan NielsenIQ, pengguna bersedia membayar lebih untuk barangan yang dihasilkan atau diperoleh secara lestari.
Dalam masa sama, kajian PwC turut mendapati pengguna sanggup membayar purata 9.7 peratus lebih untuk produk yang dihasilkan secara lestari, meskipun berdepan tekanan kos sara hidup.
Kajian Bain & Company pula melaporkan purata premium 12 peratus dibayar untuk produk mesra alam.
Ini menunjukkan perubahan iklim bukan sahaja mempengaruhi keperluan pengguna, malah juga nilai dan cara berfikir mereka. Trend ini mula terbentuk melalui amalan seperti pembelian pukal tanpa pembungkusan, kitar semula, dan penggunaan semula barangan rumah.
Kesedaran
Kesedaran dalam kalangan generasi muda terhadap isu perubahan iklim dilihat semakin tinggi. Menurut Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, anak muda ASEAN berpotensi menyumbang idea dan tenaga dalam menangani isu ini, namun memerlukan dorongan padu daripada kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Institusi pendidikan dan latihan boleh memainkan peranan memperkenalkan kurikulum yang memberi penekanan terhadap kemahiran operasi hijau dan pengurusan sumber lestari.
Pendidikan awal mengenai kelestarian alam mampu membentuk generasi pekerja dan pemimpin yang lebih prihatin terhadap perubahan iklim.
Beberapa syarikat tempatan seperti Nestlé Malaysia, Petronas, Sunway Construction dan Malakoff mula melaksanakan strategi operasi mampan, termasuk penggunaan tenaga boleh baharu, pengurusan sisa pintar, dan pengurangan pembungkusan plastik.
Petronas turut memperkenalkan sistem tenaga boleh baharu dan pengurusan pintar dalam rantaian bekalan mereka.
Syarikat e-dagang seperti Lazada juga mula menggunakan teknologi pintar untuk mengoptimumkan laluan penghantaran bagi mengurangkan jejak karbon.
Langkah-langkah yang diambil oleh syarikat bukan sekadar strategi perniagaan, ia merupakan bentuk adaptasi iklim yang penting.
Dengan beralih kepada operasi yang rendah karbon dan efisien tenaga, mereka bukan sahaja mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, tetapi menunjukkan kepimpinan dalam memacu ekonomi ke arah yang lebih tahan iklim.
Inisiatif seperti ini memberi mesej bahawa sektor korporat mampu menjadi pemangkin perubahan yang signifikan apabila mereka benar-benar komited terhadap kelestarian.
Dalam konteks pengurusan operasi, syarikat perlu menilai semula proses kerja yang menyumbang kepada pelepasan karbon tinggi, dan beralih kepada teknologi pintar yang lebih cekap tenaga.
Contohnya, pelaksanaan sistem pengurusan tenaga digital, automasi hijau dalam pengeluaran, serta model logistik yang meminimumkan jejak karbon boleh meningkatkan kecekapan sambil menyokong kelestarian.
Organisasi juga boleh mengintegrasikan prinsip lean and green bagi mengurangkan pembaziran dalam setiap rantaian nilai.
Petikan Dr. Azliyana Azhari, Penyelidik dari Hab Penyelidikan Perubahan Iklim dan Komunikasi Monash Malaysia, menggambarkan realiti ini dengan tepat.
“Kebanyakan rakyat Malaysia mahu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, namun mereka kurang yakin dengan tindakan iklim yang mahu diambil,” katanya.
Kekeliruan dan keraguan ini menunjukkan perlunya komunikasi risiko yang lebih berkesan, serta inisiatif yang lebih nyata dan mudah diakses agar setiap lapisan masyarakat dapat merasai bahawa tindakan mereka membawa kesan.
Justeru, keterlibatan aktif sektor swasta dalam menunjukkan contoh melalui tindakan nyata akan menjadi pemangkin penting untuk membina keyakinan dan semangat kolektif.
Sebagai sebuah negara membangun yang kaya dengan biodiversiti dan sumber asli, Malaysia mempunyai kedudukan strategik untuk menjadi peneraju dalam inovasi lestari di rantau ini.
Dengan menggabungkan kepakaran tempatan, teknologi hijau dan dasar kerajaan yang progresif, kita mampu mencipta model pembangunan ekonomi yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga selari dengan matlamat kelestarian global.
Masa depan
Perubahan iklim bukan sahaja mengganggu operasi di peringkat pengguna akhir, malah turut mengubah dinamik rantai bekalan. Kelewatan penghantaran akibat banjir atau gangguan tenaga menyebabkan gangguan kepada pengeluar dan peruncit.
Peruncit perlu mengadaptasi sistem inventori dengan lebih fleksibel dan menggunakan analisis ramalan cuaca dalam merancang stok barangan keperluan terutama barangan basah dan makanan asas.
Dalam menghadapi realiti iklim baharu ini, inovasi memainkan peranan penting dalam memastikan operasi perniagaan dan kesejahteraan pengguna kekal lestari.
Banyak syarikat kini melabur dalam teknologi pintar seperti sistem bangunan hijau, logistik mesra alam, dan automasi tenaga rendah karbon.
Selain syarikat besar, koperasi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga harus diberi sokongan untuk melaksanakan langkah-langkah adaptasi.
Bantuan kewangan, latihan dan akses kepada teknologi lestari akan memudahkan mereka turut serta dalam gerakan ke arah kelestarian alam.
Untuk memastikan ketahanan jangka panjang, organisasi disarankan untuk melaksanakan penilaian risiko iklim secara berkala terhadap operasi mereka.
Ini termasuk audit tenaga, pelan kontinjensi bencana, serta pelaburan dalam pembangunan kapasiti staf mengenai operasi hijau.
Di peringkat komuniti, perlu ada kerjasama antara kerajaan tempatan dan syarikat utiliti bagi membina sistem sokongan seperti grid mikro, stesen pengecas kenderaan elektrik, dan skim insentif untuk amalan cekap tenaga dalam kediaman.
Perubahan iklim bukan sekadar cabaran cuaca. Ia mencerminkan soal tanggungjawab generasi kini terhadap generasi akan datang.
Sebagaimana semangat gotong-royong yang lama menjadi akar budaya, usaha menangani perubahan iklim juga menuntut kesatuan tindakan dan rasa tanggungjawab bersama.
Jika kita memilih untuk bertindak hari ini, masa depan yang lebih sejahtera dan lestari masih boleh dicapai.
Noor Aslinda Abu Seman
ialah Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Johor, Universiti
Tun Hussein Onn Malaysia














