fbpx
BEBERAPA individu berada di luar sebuah pusat hiburan yang terletak di tingkat empat sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

‘Mini Manila’ tawar gadis seawal pukul 10 pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua premis pusat hiburan yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah popular di ibu negara dipercayai menjalankan kegiatan haram dengan menawarkan gadis pelayan pe­langgan (GRO) terdiri daripada wanita warga asing.

Tidak cukup dengan itu, tinjauan di lokasi berkenaan mendapati kedua-dua premis yang terletak di tingkat empat pusat beli-belah itu dipercayai menjalankan operasi bermula se­awal pukul 10 pagi hingga lewat malam.

Bagaimanapun, ketika tinjauan dibuat, salah satu pusat hiburan tersebut didapati tidak beropera­si dengan pintu kacanya dikunci dan ditutupi langsir hitam.

Satu lagi premis yang kelihatan seperti sebuah bar karoeke masih beroperasi dengan pemantauan rapi oleh seorang individu disyaki penjaga premis yang berada di hadapan pusat hiburan terbabit.

Seorang pekerja tempatan yang enggan dikenali mendedahkan, terdapat sekumpulan wanita warga asing yang berlegar-legar di sekitar premis terbabit yang dipercayai bekerja sebagai GRO.

Dakwanya, kumpulan GRO itu dilihat cuba mendapatkan pelanggan sebelum membawa mereka masuk ke premis.

“Semua wanita yang tengah ‘bersidai’ di tepi kaki lima dan sekitar pusat hiburan itu adalah pelayan pelanggan.

“Kalau sebelum ini, mereka sudah mula bekerja seawal pukul 10 pagi. Cuma kebelakangan ini, mereka semakin berjaga-jaga selepas satu klip video menunjukkan kegiatan premis itu tular di media sosial,” katanya.

Untuk rekod, pusat beli-belah yang terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock itu terkenal de­ngan jolokan ‘Mini Manila’ memandang­kan rata-rata pengunjung dan pekerja di premis tersebut merupakan warga Fili­pina.

Malah, cubaan wartawan Kos­mo! untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kegiatan itu turut mengundang perhatian pihak tertentu apabila diekori individu tidak dikenali.

ANTARA tangkap layar video tular mengenai kewujudan sebuah pusat
hiburan yang beroperasi di pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Individu tersebut dilihat memantau dan memerhati gerak-geri wartawan dengan sesekali cuba mendekati seolah-olah ingin mengetahui tujuan sebenar kehadiran penulis ke lokasi itu.

Dalam pada itu, segelintir peniaga yang ditemui meluahkan rasa tidak puas hati terhadap gangguan berterusan ekoran bunyi bising dan tingkah laku pengunjung pusat hiburan yang didakwa mengganggu ketenteraman awam.

Menurut pekerja kedai pakaian dikenali sebagai Hana, 19, masalah tersebut bukan sahaja menjejaskan perniagaan mereka, malah turut menimbulkan suasana yang kurang selamat.

“Setiap hari mesti ada pelanggan dari pusat hiburan terbabit yang mabuk sampai ke kawasan kedai kami berniaga.

“Kadang-kadang mereka buat kacau, ada juga yang muntah merata-rata selain aksi pergaduhan yang menimbulkan rasa kurang selamat kami sebagai peniaga dan pelanggan,” katanya.

Seorang lagi peniaga bara­ngan, Mey berkata, gangguan dan bunyi bising dari pusat hiburan itu semakin serius sejak beberapa bulan lalu terutamanya pada hari Ahad.

“Bunyi bising sampai mengganggu kami berurusan dengan pelanggan. Suasana akan bertambah meriah selepas pukul 6 petang dan kawasan ini seperti bukan sebuah pusat beli-belah,” katanya.

Katanya lagi, hanya pelanggan tertentu yang mengetahui kewujudan pusat hiburan terbabit ekoran lokasinya yang berada di tingkat atas.

“Kedai di sini kebanyakannya sudah tutup bermula pukul 7 malam, namun pusat hiburan itu masih buka sehingga lewat malam. Saya tidak pasti bagaimana mereka masuk atau keluar kerana pusat beli-belah ini ditutup sepenuhnya pada pukul 10 malam,” katanya.

Sehubungan itu, Mey berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan dengan menjalankan pemeriksaan ke atas pusat hiburan itu yang disifatkan mencacatkan imej pusat beli-belah berkenaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN