SUNGAI PETANI – Seorang wanita maut akibat dirempuh sebuah kenderaan ketika sedang bersarapan di sebuah kedai makan di Taman Bersatu, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi itu berlaku ketika mangsa, Han Chin Ting, 55, seorang jurujual barangan farmasi sedang menjamu selera di rumah kedai tersebut bersama beberapa pelanggan lain.
Dia kemudian dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dipandu seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang terbabas.
Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Sementara pemilik kedai makan iaitu seorang wanita berusia lingkungan 50-an serta empat pelanggan lain mengalami kecederaan.
Menurut seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku apabila Perodua Alza yang sedang bergerak menghampiri simpang tiga berhampiran kedai makan berkenaan dilihat hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pelanggan di situ.
“Pemandu wanita terbabit tinggal di taman perumahan sama dan memaklumkan dia tersilap tekan pedal minyak menyebabkan kenderaannya hilang kawalan.
“Walau bagaimanapun pemandu kenderaan itu tidak mengalami kecederaan dan terpaksa ditenangkan oleh orang ramai kerana terkejut,” katanya di sini hari ini.
Kata saksi itu lagi, mangsa yang masih belum berkahwin sering bersarapan di kedai makan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE