SEREMBAN – Lima sekeluarga diselubungi kebimbangan apabila tebing tanah berhampiran dengan rumah mereka runtuh di Taman Alamanda, Senawang di sini lebih 10 hari lalu.
Mereka mendakwa kejadian itu disebabkan terdapat pergerakan air bawah tanah dipercayai berpunca daripada paip bocor.
Menurut Nurfaezah Bahrom, 33, kediaman tersebut dibeli suaminya, Noriman Samian, 40, sejak 15 tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut, mereka tidak mengetahui terdapat kejadian tebing tanah runtuh.
“Kejadian disedari ketika suami dengar bunyi air kuat seperti air terjun ketika hendak keluar rumah pada 14 April lalu.
“Apabila ditinjau, kami dapati ada tebing runtuh. Pihak berkuasa masih mencari lokasi paip bocor dan sudah meletakkan kanvas bagi mengelak runtuhan makin teruk,” katanya.
Menurut Nurfaezah, keadaan itu menyebabkan mereka risau walaupun ada usaha mengawalnya.
Tambahnya, ada pihak menawarkan untuk berpindah buat sementara waktu dan membayar sewa rumah, namun tidak pasti sampai bila.














