SETIAP haiwan yang diciptakan oleh Tuhan mempunyai kelebihan tersendiri bagi melindungi diri dan terus hidup. Hakikatnya, haiwan juga dicipta dengan pelbagai kelebihan bagi membolehkannya hidup ribuan tahun atau selama-lamanya. Oleh itu, haiwan-haiwan ini tidak terjejas oleh peredaran masa dan terus hidup sehingga ke hari ini.
Ia menjadi saksi jatuh bangun sesebuah empayar di dunia.
Pada minggu ini, CitaRasa ingin kongsikan lima haiwan di lautan yang mempunyai umur ribuan tahun dan ada antaranya didakwa tidak pernah mati sehingga ke hari ini menurut Live Science.
1- Hydra
HYDRA ialah sekumpulan invertebrata kecil dengan badan lembut yang menyerupai obor-obor. Ia dikatakan berpotensi untuk hidup selama-lamanya. Invertebrata ini sebahagian besarnya terdiri daripada sel stem yang terus menjana semula melalui penduaan atau pengklonan. Jadi, haiwan ini tidak terjejas biarpun semakin tua.
Haiwan ini boleh mati dalam keadaan semula jadi kerana ancaman pemangsa dan penyakit, tetapi tanpa bahaya luaran. Menariknya, ia boleh terus menjana sel-sel stem dan hidup seolah-olah selama-lamanya.
2- Turritopsis dohrnii
TURRITOPSIS dohrnii dipanggil obor-obor abadi kerana ia juga berpotensi untuk hidup selama-lamanya. Obor-obor ini memulakan hidup sebagai larva sebelum bertapak di dasar laut dan berubah menjadi polip.
Menurut Muzium Sejarah Alam Amerika Syarikat, polip ini kemudiannya menghasilkan medusa berenang bebas atau obor-obor.
Turritopsis dohrnii dewasa sangat istimewa kerana haiwan ini boleh kembali menjadi polip jika rosak secara fizikal atau kelaparan.
3-Span kaca (glass sponge)
MAKHLUK span kaca terdiri daripada koloni haiwan serupa batu karang dan boleh hidup selama beribu-ribu tahun. Span kaca adalah antara span yang paling lama hidup di Bumi.
Kumpulan haiwan ini sering ditemui di laut dalam dan mempunyai rangka yang menyerupai kaca.
Kajian 2012 yang diterbitkan dalam jurnal Chemical Geology menganggarkan bahawa span kaca daripada spesies Monorhaphis chuni berusia kira-kira 11,000 tahun.
4- Karang hitam
KARANG hitam merupakan antara karang yang hidup paling lama. Spesimen karang hitam yang ditemui di luar pantai Hawaii, Amerika Syarikat itu dianggarkan berusia 4,265 tahun.
Secara umumnya, karang kelihatan seperti batu dan tumbuhan bawah air yang berwarna-warni. Namun, ia sebenarnya terdiri daripada rangka luar invertebrata yang dipanggil polip.
Polip ini terus membiak dan menggantikan dirinya dengan mencipta salinan yang serupa secara genetik dari masa ke masa.
Ini menyebabkan struktur eksoskeleton karang berkembang lebih besar.
5- Kerang quahog
KERANG quahog lautan (Arctica islandica) mendiami Lautan Atlantik Utara. Spesies air masin ini boleh hidup lebih lama daripada bivalvia lain dalam senarai ini seperti kerang mutiara air tawar.
Menurut Muzium Negara Wales di United Kingdom, satu kerang quahog lautan yang ditemui di luar pantai Iceland pada tahun 2006, dianggarkan berusia 507 tahun.
Kerang purba itu diberi jolokan ‘Ming’ kerana dilahirkan pada 1499 ketika Dinasti Ming memerintah China (dari tahun 1368 hingga 1644).