PUTRAJAYA – Bekas Hakim, Azmil Muntapha Abas, 50, dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini kerana menerima rasuah berkaitan prosiding jenayah yang dikendalikannya tujuh tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam iaitu penjara enam bulan dan denda RM25,000.
Hukuman itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 atas kesalahan sama.
Dua lagi hakim yang bersidang hari ini ialah Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Nazlan berkata, kesalahan yang dilakukan Azmil Muntapha sebagai Hakim Mahkamah Sesyen adalah serius lebih-lebih lagi ia berkait rapat dengan tanggungjawab kehakiman.
“Lebih serius, dalam kes ini jenayah dilakukan oleh penjawat awam bukan sebarang orang, tetapi hakim Mahkamah Sesyen.
“Ini seharusnya menghancurkan amanah dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman selain melemahkan sistem pentadbiran keadilan negara,” katanya.
Hakim Mohd. Nazlan berkata, hakim Mahkamah Sesyen membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap faktor mitigasi dan prinsip undang-undang sebelum menjatuhkan hukuman.
Sebaliknya, kata beliau, wujud kekhilafan dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara enam bulan kepada penjara sehari.
Pada prosiding itu, pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, Dr. Ifa Sirrhu Samsudin, Maziah Mohaide, Siti Amirah Muhammad Ali dan Elyza Amira Habeeb Rahman.
Sementara Azmil Muntapha pula diwakili peguam bela Datuk Mohtarudin Baki, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Hamdan Hamzah dan Mona Lubon.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan diberitahu Jabatan Peguam Negara menolak representasi yang dihantar Azmil yang memohon untuk mengekalkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.
Pada 19 Oktober 2022, Mahkamah Sesyen menetapkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 ke atas Azmil Muntapha selepas didapati bersalah menerima rasuah RM5,000 atas kapasitinya sebagai Hakim Mahkamah Sesyen dalam prosiding kes jenayah yang melibatkan enam tertuduh.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE