PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengeluarkan produk makanan dari Indonesia yang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi sekiranya didapati berada di pasaran tempatan.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan Jakim untuk memastikan produk berkenaan dikeluarkan segera dari pasaran negara.
“Jadi, sebaik saja kita mendapat makluman tersebut, kita telah pun mengadakan perbincangan dengan Jakim untuk memastikan bahawa tersebut dapat dikeluarkan segera daripada pasaran kita.
“Kita akan bekerjasama rapat dengan Jakim dan agensi agama di peringkat negeri, bersandarkan kepada pengumuman yang dibuat oleh badan pensijilan halal di Indonesia.
“Justeru, kita akan ambil tindakan segera untuk menangani perkara ini,” katanya menerusi sidang akhbar pada Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN di sini hari ini.
Terdahulu, sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sempat meluangkan masa kira-kira 15 minit menyantuni warga KPDN.
Sebelum ini, Jakim mengarahkan pengimport menarik balik produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi dari pasaran tempatan. – KOSMO! ONLINE