SIAPA sangka, satu pelawaan ibu untuk mencuba kelas lawan pedang di Touche Fencing Club, Petaling Jaya, Selangor menjadi titik tolak kepada perjalanan Saif Nordin, sebagai atlet kebangsaan.
Baru berusia lapan tahun ketika itu, Saif masih ingat perasaan teruja saat pertama kali menyarung pakaian lawan pedang dan memegang pedang di tangan.
Kongsi Saif, 14, sifat sukan lawan pedang yang menguji strategi dan ketajaman mental dirasakan sesuai dengan jiwanya meskipun turut berbakat dalam sukan taekwondo dan ragbi.
“Saya pernah main ragbi, taekwondo dan tenis, tapi semua itu sekadar suka-suka.
“Dalam taekwondo, saya sudah di tahap tali pinggang merah-hitam dan saya juga main untuk pasukan Cobra bagi sukan ragbi.
“Tapi sukan lawan pedang lain kerana saya perlu fikir cara untuk buat lawan keliru dan skor dalam keadaan tenang,” katanya kepada K-Remaja.
Ternyata keputusannya itu tepat apabila dia yang kini berusia 14 tahun berjaya melayakkan diri ke beberapa pertandingan bertaraf elit di peringkat antarabangsa.
Antaranya termasuklah mewakili Selangor pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024, menyertai Kejohanan Dunia Kadet dan Remaja, Kejohanan Lawan Pedang Komanwel serta siri FIE Open Satellite anjuran Persekutuan Lawan Pedang Antarabangsa.
Anak bongsu daripada lima beradik itu menutup tirai tahun 2024 dengan penuh bergaya apabila memenangi pingat emas bagi kategori foil bawah 14 tahun di Asian Cadet Fencing Challenge di Hong Kong.
Bukan itu sahaja, Saif turut membawa pulang pingat emas berganda di Festival Lawan Pedang Antarabangsa Sydney 2024 bagi kategori bawah 14 tahun dan kadet.
Secara keseluruhan, Saif telah mengumpul sebanyak 17 pingat emas, tiga pingat perak dan 15 pingat gangsa dari tahun 2023 hingga 2025.
Bak pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, Saif berusaha keras mengikuti jadual harian Saif yang disusun bagi mengimbangi tuntutan akademik dan latihan sukan.
Setiap pagi dimulakan dengan sesi persekolahan dan sebaik pulang sekitar pukul 3 petang, Saif meneruskan dengan latihan kardio yang kebiasaannya melibatkan aktiviti berenang.
Kemudian diikuti dengan latihan kekuatan yang memberi fokus kepada kumpulan otot berbeza mengikut hari seperti latihan kaki, lengan dan belakang.
Sesi latihan lawan pedang pula dijalankan secara intensif pada hari Khamis, Sabtu, Ahad dan kadangkala turut dilakukan pada hari Selasa sekiranya terdapat pertandingan.
Dalam latihan tersebut, Saif akan dibimbing oleh jurulatih peribadi, Andrew Mok serta menjalani sesi sparring bersama rakan sepasukan.
Selain itu, Saif turut mengakui mendapat bimbingan daripada tokoh perintis sukan lawan pedang Malaysia, Mok Chek Wlong bagi memantapkan lagi persembahannya.
“Latihan jurulatih Andrew lebih kepada fizikal, sementara jurulatih Mok pula banyak bantu dari segi strategi dan perancangan.
“Saya suka ada dua pandangan berbeza sebab ia bantu saya faham cara untuk hadapi lawan dengan lebih versatil ketika di arena nanti,” katanya yang berdarah kacukan Lebanon-Australia dan Cina.

Untuk pengetahuan, sukan lawan pedang merupakan sukan tempur moden melibatkan dua orang pemain bertarung menggunakan pedang khas dalam gelanggang yang dikenali sebagai piste.
Terdapat tiga jenis senjata utama yang digunakan dalam sukan ini iaitu foil, épée dan sabre, masing-masing dengan peraturan dan teknik tersendiri.
Dalam perlawanan, pemain memperoleh mata dengan menyentuh bahagian sasaran badan lawan mengikut peraturan senjata yang digunakan.
Selain menjalani latihan di Malaysia, Saif juga pernah menyertai kem latihan di luar negara seperti di Singapura dan Hong Kong.
Menurutnya, rantau Asia sendiri mempunyai barisan pasukan lawan pedang yang kuat seperti Hong Kong, Korea dan Jepun.
“Kalau ada peluang, saya nak berlatih di tempat yang lebih kompetitif seperti Mesir atau Amerika Syarikat. Tapi buat masa ini, saya fokus dulu di Asia.
“Kalau nak ke Olimpik, saya perlu layak melalui Asia. Saya berharap dapat merangkul tiket ke Sukan Olimpik Brisbane 2032 nanti,” katanya.
Acara utama yang bakal disertai oleh atlet muda ini ialah Grand Prix di Shanghai pada Mei nanti iaitu satu kejohanan antarabangsa bertaraf senior yang berprestij.
Dalam pertandingan tersebut, Saif berpeluang bersaing bersama atlet Olimpik dan juara dunia yang dianggapnya sebagai satu pengalaman berharga.
Ini kerana meskipun terdapat jurang usia dan pengalaman yang ketara antara dirinya dengan pesaing lain, pendedahan tersebut dapat membantunya memperbaiki kelemahan yang ada.
“Saya mahu tingkatkan kekuatan fizikal kerana apabila saya berlawan pedang, saya biasanya berlawan dengan lelaki yang lebih besar dalam lingkungan umur 20-an.
“Saya juga perlu perbaiki bahagian mental dan strategi saya, sebab saya masih ketinggalan berbanding mereka yang lebih berusia,” katanya.
Saif turut berharap dapat bertemu dengan idola lawannya dari Perancis, Daniele Garozzo dan dari Hong Kong, Cheung Ka Long dalam kejohanan itu nanti.
Bercakap tentang strategi untuk tampil cemerlang di arena sukan, Saif mengutamakan keupayaan untuk kekal tenang dan fokus ketika bertanding.
Sekiranya tekanan menghadapi pertandingan memuncak, Saif akan mengambil masa seketika untuk berehat dan berbual bersama rakan-rakan bagi meredakan ketegangan.
“Dalam sukan lawan pedang, pergerakan berlaku dengan pantas dan keputusan perlu dibuat dalam sekelip mata.
“Ketenangan membolehkan atlet berfikir secara jernih, membaca pergerakan lawan dan membuat strategi yang tepat tanpa panik,” katanya.
Ketika tidak bertanding, Saif gemar meluang masa dengan seni lukisan akrilik di atas kanvas sebagai satu bentuk relaks tanpa tekanan meraih sebarang pencapaian.
Ini kerana anak kepada pasangan Nordin Abdullah dan Somaya On itu turut cemerlang dalam akademik sehingga memperoleh keputusan 90 peratus ke atas bagi kesemua subjek yang diambil.
Meminati subjek Matematik dan Sains, pelajar di Sunway International School Sunway City itu mengakui turut mengejar cita-cita untuk menceburi bidang kejuruteraan suatu hari nanti.
“Oleh kerana saya selalu keluar negara untuk menyertai pertandingan, saya kerap juga tidak dapat menyertai sesi persekolahan seperti rakan-rakan lain.
“Tetapi saya akan pastikan mengulangkaji pelajaran ketika masa lapang agar tidak ketinggalan dalam akademik.
“Sokongan dan bimbingan ibu bapa serta jurulatih menjadikan impian untuk berjaya dalam kedua-dua akademik dan sukan saya realistik,” katanya.















