BEBERAPA insiden yang berlaku akhir-akhir ini jelas memperlihatkan betapa ikatan perpaduan antara rakyat berbeza kaum, bahasa, budaya dan agama di negara ini masih rapuh.
Lihatkan isu melibatkan bendera, papan tanda, kalimah Allah, malah isu ladang musang king haram turut dikaitkan dengan masalah perkauman. Caci maki, ejek-mengejek dan hina-menghina seolah-olah sukar dibendung antara kita.
Apatah lagi dengan adanya platform media sosial yang menjadikan ramai pengguna sewenang-wenang menghamburkan apa sahaja kata-kata tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan tersebut.
Kita ini tinggal di sebuah negara yang luasnya cuma 330,000 kilometer persegi di 13 buah negeri dan tiga wilayah persekutuan. Kita menghuni bumi ini bersama-sama 34.1 juta orang dengan majoriti Melayu seramai 17.8 juta diikuti Cina (6 juta) dan India (2 juta).
Malah kita berkongsi kehidupan bersama kira kira 300 kaum etnik dan sub-etnik lain lagi terutama di Malaysia Timur seperti Kadazandusun, Murut, Bajau, Iban, Bidayuh, Melanau termasuk Baba dan Nyonya dan banyak lagi.
Kita semua tinggal di bawah langit yang sama. Menghirup udara yang sama. Jika bencana banjir, kemarau panjang, tanah runtuh dan ribut kita semua sama-sama terpaksa menghadapi ujian yang sama.
Malangnya selepas hampir 68 tahun merdeka, suasana pertautan antara kaum tidak banyak berubah, saya percaya mungkin selepas 100 tahun pun kita merdeka keadaan tidak akan berubah selagi kita mempunyai sikap yang sama seperti hari ini.
Sistem sekolah vernakular yang masih ada menjadi antara punca sukarnya kita menghubung jalin perpaduan dengan jitu antara kaum. Selain dipisahkan dengan pelbagai faktor lain melibatkan ekonomi, penempatan dan aktiviti sosial.
Sebab itu, menjelang 68 tahun kita merayakan kemerdekaan negara tahun ini, masih ramai yang gagal berbahasa Melayu, apa lagi jika kita mahu melihat mereka memahami mengenai budaya dan agama bangsa lain.
Keadaan diburukkan dengan sikap ahli-ahli politik serta aktivis yang gemar menggunakan sentimen perkauman untuk menarik sokongan dan perhatian penyokong. Ada yang mahu menjadi juara atau hero atas isu perkauman.
Aktivis di bawah pula menjadi kuda-kuda tunggangan menyemarakkan isu dan lama-kelamaan menebalkan perasaan perkauman di peringkat akar umbi.
Semua ini juga bertitik tolak daripada ketidakfahaman mengenai Perlembagaan negara, Kontrak Sosial dan prinsip Rukun Negara. Tanpa bersandar kepada kefahaman dan kepatuhan batu asas ini, selagi itu pertautan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum akan terus rapuh.
Perpaduan antara rakyat tidak terbentuk begitu sahaja. Ia perlu dipupuk, disemai dan dimulakan dari kita sendiri. Kita adalah wajah kepada generasi akan datang. Semoga negara kekal aman dan sejahtera.














