fbpx
Salah sebuah premis yang diuruskan warga asing di Kuala Lumpur.

‘Warga asing bunuh bisnes kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kewujudan koloni warga asing yang menjalankan perniagaan di kawasan tumpuan di ibu negara ­meng­­a­kibatkan ramai peniaga tempatan berdepan kerugian sehingga ada bisnes yang terpaksa ditutup.

Malah, ada warga asing yang berkahwin dengan wanita tempatan semata-mata mahu membuka perniagaan menggunakan lesen atas nama isteri mereka dan berjaya memperoleh pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan.

Tinjauan Kosmo! mendapati, koloni warga asing itu bertaburan di beberapa lokasi tumpuan se­perti di Medan Imbi, Bukit Bintang dan Pantai Dalam di sini, selain Pusat Hentian Kajang.

Seorang peniaga kedai makan dikenali sebagai Kamal, 40, berkata, perniagaannya yang sudah bertapak sejak 30 tahun lalu di Medan Imbi di sini, semakin merosot ekoran pertambahan warga asing.

“Ini adalah perniagaan keluarga yang dibangunkan oleh bapa saya. Dahulu kami ada restoran di sini, tetapi terpaksa ditutup dan kini hanya membuka gerai di tepi jalan.

“Sejak kedatangan warga ­asing, ramai pelanggan tempatan lari. Kawan-kawan saya pun tak mahu datang sini. Mereka kata tempat ini sudah jadi ‘kampung Bangladesh’,” katanya ketika kepada Kosmo!.

Kamal berkata, hampir kese­mua premis perniagaan di kawasan itu terdiri daripada kedai runcit dan restoran yang dikendalikan warga asing.

“Semua peniaga tempatan juga sudah lari. Warga asing mereka tidak beli barangan dan makanan di kedai orang tempatan, sebaliknya mereka hanya sokong kedai rakan senegara mereka.

“Susah kami nak cari makan sekarang. Warga asing memang bunuh perniagaan kami. Saya pun tak tahu berapa lama lagi saya boleh bertahan,” kata­nya.

Peniaga, Nadia Adnan, 38, pula mendedahkan, penempatan rumah bertingkat seperti flat di Medan Imbi di sini, turut didiami warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, keadaan persekitaran kini menjadi semakin kotor dan tidak terurus dengan lambakan warga asing yang pengotor.

“Saya tak tahan dengan sikap mereka lebih-lebih lagi soal kebersihan. Kawasan ini penuh dengan sampah sarap dan bau busuk. Tengok sahajalah tangga nak naik ke rumah mereka.

“Di sebelah malam pula, mereka sering mabuk sehingga menyebabkan pergaduhan. Walaupun mereka tak ganggu orang tempatan, tetapi memang tak selesa apabila berdepan dengan situasi ini,” katanya.

Syed Asfar Baharuddin, 40, yang menjalankan perniagaan runcit di Bukit Bintang di sini, juga mengakui telah mengalami kerugian sejak beberapa tahun lalu.

“Mungkin sebelum ini, kami bersaing dengan pasar raya yang besar, tetapi sekarang, kedai warga asing lebih berjaya daripada kami.

“Bukan kami tak pandai berniaga, tetapi orang tempatan sudah tak minat datang sini. Mereka semua lebih suka lepak di pusat beli-belah. Hanya harap­kan pelancong, namun kedatangan mereka ini bermusim,” ujarnya.

Tinjauan Kosmo! di Pusat Hentian Kajang pula mendapati, rata-rata perniagaan kedai makan di situ dimonopoli warga asing terutama dari Myanmar dan Indonesia.

Nabil Amin, 35, berkata, dia yang sebelum ini membuka kedai makan di situ hanya mampu bertahan tidak sampai setahun gara-gara gagal mendapatkan pelanggan.

Katanya, lokasi di Pusat Hentian Kajang itu sudah menjadi perkampungan warga asing.

“Mereka (warga asing) banyak sewa di rumah kedai di sini. Kedai makan semua mereka punya.

“Dengan lambakan warga a­sing, siapa lagi yang nak datang ke sini. Orang tempatan nak tempat yang bersih dan selamat. Kalau warga asing ramai macam ini, akhirnya semua lari,” katanya.

Seorang lagi peniaga runcit dikenali Mohamad, 51, mendakwa, kewujudan banyak premis perniagaan yang diusahakan warga asing bukan sahaja mengancam mata pencariannya, tetapi turut menimbulkan suasana tidak bersih kepada kawasan persekitaran.

Katanya, ini kerana kebanyakan kedai runcit yang diusahakan warga asing tidak diurus dengan baik dan dalam keadaan kotor terutama di bahagian kaki lima.

“Premis mereka boleh bertahan sebab kebanyakan penghuni yang mendiami kawasan Hentian Kajang adalah warga asing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN