PUTRAJAYA – Gerak kerja reformasi undang-undang dan institusi terus dipergiat dengan tiga Rang Undang-Undang (RUU) dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Jun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tiga RUU yang menjadi antara fokus utama itu meliputi RUU Bantuan Guaman, RUU Perlindungan Saksi dan RUU Insolvensi Rentas Sempadan.
“Kita hendak tengok kepada RUU Bantuan Guaman dan kedua ialah RUU Perlindungan Saksi yang merupakan isu paling besar, (saksi) ini tak boleh disimpan lama-lama, kes itu mesti diselesaikan secepat mungkin sebab dia nak jadi saksi.
“Ada beberapa saksi itu disimpan dalam beberapa tahun, saya tak begitu setuju sebab alasannya kes ditangguh, itu sebab saya nak maklum, kalau kes-kes tersebut di bawah senarai perlindungan saksi, ia perlu menjadi keutamaan untuk diselesaikan segera.
“Itu harapan saya, kalau tidak, tak masuk akal kita kategorikan dalam perlindungan saksi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Mesra Aidilfitri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bersama warga jabatan dan agensi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, beliau juga telah mengadakan kunjungan ke negara-negara ASEAN untuk bertemu dengan menteri undang-undang dan kehakiman bagi mendapatkan input berkaitan mengenai RUU Insolvensi Rentas Sempadan.- KOSMO! ONLINE