fbpx

Vino G tak kisah ‘diusik’ sebagai ustaz, ramai minta diruqyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vino mendedahkan ramai menyapanya dengan panggilan ustaz sehingga ada yang meminta diruqyah. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR – Watak dalam filem seram Qodrat 2 berbekas di hati peminat, pelakon Vino G Bastian mendedahkan ramai menyapanya dengan panggilan ustaz sehingga ada yang meminta diruqyah sebagai penawar gangguan.

Kata aktor berusia 43 tahun itu, dia tidak kisah berdepan usikan nakal netizen, malah menganggap karakter yang kental ilmu agama dalam naskhah terbabit melorongkannya ke arah kebaikan selain semakin peka menjaga tingkah laku.

“Impak sangat besar sejak filem pertama ditayangkan dan selepas Qodrat 2 menemui khalayak akhir Mac lalu ramai rakan serta peminat panggil saya Ustaz Qodrat sehingga ada yang minta diruqyah.

“Sejujurnya, pembabitan dalam karya yang sarat elemen kekeluargaan dan keagamaan ini memberi nilai tambah terhadap keperibadian, sikap serta kehidupan saya sehari-hari.

“Sekali gus, perhatian serta peringatan insan sekeliling menjadi benteng mengelakkan saya berbuat perkara tidak baik di dunia realiti.

“Saya juga ajarkan ayat al-Quran yang ringkas dalam filem ini kepada anak-anak saya. Ini keberkatan berlakon Qodrat 1 dan Qodrat 2 apabila berpeluang mempelajari agama serta memantapkan amal ibadah,” katanya selepas ditemui di malam gala filem tersebut di ibu negara, baru-baru ini.

Filem Qodrat 2, berkisar mengenai Qodrat yang mencari kembali isterinya Azizah lakonan Acha Septriasa di sebuah daerah namun takdir mempertemukannya semula dengan iblis Asu’ala.

Mengenai kelancaran membaca ayat suci al-Quran serta ruqyah, akuinya ketika penggambaran ada ustaz yang menemaninya bagi ‘menjaga’ bacaan.

“Saya dibantu ustaz sama ketika penggambaran Qodrat pertama dulu iaitu memakai ‘headphone’. Sekiranya saya salah baca ayat, kena ulang semula dari awal.

“Panjang atau pendek ayatnya kalau salah pun kena ulang dari awal. Banyak kali kena buat. Jika babak aksi sudah okey tapi bacaan salah, kena buat semula.

“Syukur banyak bantu kami dalam penggambaran ini. Kebetulan dia juga ustaz ruqyah, gerakan-gerakan rukyah dalam filem ini turut dipimpinnya,” ujarnya.

Qodrat 2 kini ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 17 April lalu menerusi kerjasama MAGMA Entertainment dengan Astro Shaw. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI