SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan meneliti cadangan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di Selangor yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik termasuk ‘fentanyl’ atau dadah zombie.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin dan Jabatan Kesihatan Negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Perkara ini bergantung juga kepada peratuan kerajaan Persekutuan. Cuma saya lihat ia perlu dibawa ke arah perbincangan bersama pihak berkaitan.
“Saya perlu dapatkan keseluruhan fakta dan pandangan yang menyeluruh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ehsan Raya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik berkata, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape kerana lesen perniagaan itu berada di bawah pihak berkuasa tempatan.
Ini kerana ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan apabila terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape yang dicampur dadah.
Amirudin yang juga Penaung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor berkata, penyalahgunaan dadah di negeri ini masih terkawal.
“Kadangkala yang orang uar-uarkan itu adalah data keseluruhan. Data keseluruhan memang wajarlah sebab Selangor ada tujuh juta populasi (penduduk) dan Kelantan mungkin tidak sampai dua juta.
“Tetapi kalau mahu tengok, kita kena tengok data per100,000 yang lebih tepat, melihat bagaimana penagihan dadah ini berlaku.
“Baru-baru ini kita mencuba satu alat saringan yang lebih mudah. Kita akan memperbanyakkan saringan supaya dapat kesan individu yang terlibat dalam (penyalahgunaan) dadah pada usia muda,” katanya. – KOSMO! ONLINE