KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan ketika ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mentadbir negara dan melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang, bukannya memikirkan soal Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan segala dasar serta tanggungjawab pentadbiran dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat dan negara.
Menurut beliau, keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hak dan pertimbangan kerajaan negeri masing-masing.
“Saya memberi tumpuan kepada tugas saya. Masalahnya, ada sesetengah pihak yang tidak memikirkan perkara ini. Kita sepatutnya fokus kepada kerja.
“Itu keputusan mereka. Kami mempunyai keutamaan sendiri dan perlu menumpukan perhatian kepada tanggungjawab kami,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembubaran DUN Johor yang diumumkan pada Isnin lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak melihat keperluan untuk memberi tumpuan kepada soal pilihan raya ketika pelbagai agenda penting negara sedang dilaksanakan.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah memastikan pentadbiran negara berjalan lancar selain merealisasikan pelbagai dasar yang telah dirancang untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh ekonomi negara. – KOSMO! ONLINE














