MILAN – Pengurus Bayern Munich, Vincent Kompany menjadikan masalah kecederaan pemain sebagai alasan utama kepada kegagalan pasukan layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.
Keputusan seri 2-2 dengan Inter Milan pada aksi suku akhir kedua di San Siro awal pagi semalam meranapkan impian gergasi Jerman itu untuk meneruskan saingan ke kelompok empat terbaik apabila tewas 3-4 secara agregat.
Ia gara-gara kekalahan 1-2 kepada juara Serie A itu sewaktu suku akhir pertama di Allianz Arena minggu lalu.
Bayern juga terpaksa turun ke gelanggang dalam kedua-dua aksi tanpa beberapa pemain penting dan Kompany menjelaskan itu adalah masalah besar yang terpaksa dihadapinya.
“Sebelum aksi menentang Inter, isu besar adalah masalah kecederaan. Perlu faham bahawa kami tidak dapat gunakan (Hiroki) Ito, (Dayot) Upamecano, (Jamal) Musiala, (Manuel) Neuer, (Alphonso) Davies, (Kingsley) Coman, (Aleksandar) Pavlovic,” katanya.
Bagaimanapun, Kompany masih mahu memberikan markah penuh kepada prestasi pasukannya dalam kedua-dua perlawanan suku akhir khususnya apabila berjaya memberikan kesukaran kepada Inter sepanjang aksi timbal balik itu.
“Jika tanpa berbicara tentang keputusan, saya fikir pada perlawanan pertama kami sudah tunjukkan aksi baik. Begitu juga pada perlawanan kedua dimana kami menunjukkan sikap yang positif.
“Kami memiliki lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol berbanding Inter Milan. Perasaan pastinya bercampur baur kerana tidak lagi mampu untuk ke final yang akan dilangsungkan di gelanggang kami sendiri,” katanya. – AGENSI