PUTRAJAYA – Dalam linangan air mata dan nada sebak, ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan yang diterima sepanjang tempoh lima tahun anaknya berdepan pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, ibu kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu, tidak mampu menahan emosi ketika berkongsi perasaannya di sidang akhbar yang diadakan di perkarangan Istana Kehakiman kira-kira pukul 2 petang.
“Apa yang saya ingin katakan ialah saya ucapkan banyak-banyak terima kasih atas sokongan semua dan doa-doa yang diiringi. Tak dapat nak dikatakan, sebagai seorang ibu melihat perjuangan anak saya, Syed Saddiq, saya harap ramai lagi anak muda akan turut serta, sama-sama berjuang untuk kebenaran,” katanya.
Sementara itu, Mahkamah Rayuan akan menetapkan satu tarikh bagi memutuskan keputusan rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman atas empat pertuduhan yang dihadapinya.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selesai mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung rayuan untuk mengetepikan sabitan atas tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram yang menyaksikan beliau sebelum ini dihukum penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023. – KOSMO! ONLINE