fbpx

Liga Super: JDT terlalu kebal untuk ditewaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TONGGAK utama JDT, Arif Aiman (dua dari kiri) turut menyerlah apabila muncul sebagai pencetus kepada kedua-dua gol pasukannya. - JDT

 

KUCHING – Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan musim ini dengan rekod bersih apabila kekal tanpa kalah selepas menewaskan Kuching City 2-0 di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Keputusan itu juga menyaksikan hasrat The Cats untuk mencabar Sabah bagi perebutan tempat ketiga Liga Super menemui titik noktah untuk berpuas hati di tangga keempat musim ini.

Bagaimanapun, apa yang dipamerkan sepanjang 90 minit permainan menzahirkan bukti kukuh kepada kejayaan Kuching City untuk menempatkan diri di kelompok empat terbaik.

Terdahulu JDT memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila berjaya membuka jaringan seawal minit kelima menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Bergson Da Silva.

Arif Aiman Hanapi yang muncul pencetus kepada sepakan penalti sekali lagi mencuri perhatian dan kali ini mencipta bantuan kepada Romel Morales untuk menghasilkan gol kedua perlawanan pada minit ke-26.

Ketinggalan dua gol seakan tidak beri kesan besar buat Kuching City yang dilihat masih mampu melepasi pertahanan JDT namun sentuhan akhir sering menghadirkan kekecewaan buat tuan rumah.

Kuching City kekal dengan sikap positif apabila dilihat cukup selesa dengan permainan lebih terbuka dan sering melakukan tekanan awal setiap kali pemain JDT memegang bola.

Minit ke-67, Morales merobek gawang tuan rumah buat kali ketiga namun pengadil perlawanan, Ahmad Zuhadi Dzulkifli membatalkan jaringan itu selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati bola terlebih dulu terkena tangan Heberty Fernandes.

Selang lima minit selepas itu, Kuching City sepatutnya mampu mendapatkan gol pertama tetapi kesempatan itu gagal disudahkan dengan baik oleh Nur Shamie Iszuan Amin walaupun hanya berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI