fbpx
Saodah menunjukkan penyapu yang dihasilkannya di Pos Hau, Gua Musang.

Susah nak jual penyapu RM10, tahan 3 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal di Kampung Pos Hau di sini, berdepan cabaran untuk memasarkan produk kraf tangan mereka termasuk penyapu.

Saodah Lakun, 55, berkata, dia membesarkan tiga anak dengan membuat penyapu secara kecil-kecilan daripada pokok riong sejak lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, penyapu itu ha­nya dijual kepada penduduk dan orang luar yang datang berkunjung atau mengadakan program di Pos Hau pada hari-hari ter­tentu.

“Saya hanya mampu mempe­roleh pendapatan lebih semasa program yang dianjurkan agensi luar kerana ramai orang luar berminat untuk membelinya ketika itu.

“Saya jual penyapu pada harga RM10 sebatang dan berdasarkan pengalaman saya yang menggunakan penyapu ini, ia boleh bertahan sehingga tiga tahun jika tidak terkena air,” katanya.

Saodah memberitahu, proses menghasilkan penyapu itu tidak mudah apabila perlu masuk ke kawasan hutan sepanjang hari untuk mencari pokok riong yang juga dikenali sebagai pokok buluh hutan sebelum menjemurnya sehingga kering.

Katanya, proses pembuatan yang bermula daripada mencari sehingga mengikat mengambil masa sehingga seminggu lebih bergantung kepada keadaan cuaca.

“Pokok ini perlu betul-betul kering supaya boleh tahan lama. Kebiasaannya suami akan membantu mencari pokok riong di hutan kerana memerlukan masa lama untuk mendapatkannya,” katanya.

Tijah Mat, 59, juga mengakui masalah buta huruf dalam kalangan penduduk merupakan cabaran terbesar mereka untuk membawa hasil seni turun-temurun ke kawasan luar.

Katanya, kebanyakan penduduk Orang Asli dewasa dan warga emas mempunyai kemahiran membuat kraf tangan.

“Kami hanya mampu berharap agar pelancong yang datang ke kampung kami dapat mempromosikan kraf tangan yang dihasilkan selepas mereka pulang ke kawasan bandar.

“Hanya ada sesetengah penduduk yang berani mengikuti program yang dianjurkan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli. Antara kraf tangan yang kami sering hasilkan ialah tikar, penya­pu dan bakul,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN