PETALING JAYA – Anggaran kasar nilai kerugian akibat kerosakan serta kemusnahan dari segi hartanah selepas kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu, melebihi RM100 juta.
Profesor Industri Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM), Prof. Sr. Khairudin Abd. Halim berkata, dari segi julat kerugian, ia sangat besar dan berdasarkan sejarah di negara ini, tidak pernah terjadi insiden sebegitu.
Katanya, walaupun pernah berlaku kebakaran, banjir dan sebagainya, tetapi kejadian letupan saluran gas dianggap sesuatu yang lebih besar dari segi skalanya.
Dalam kejadian pada pukul 8.10 pagi itu, sebanyak 87 buah rumah dan kedai musnah sepenuhnya akibat kebakaran, manakala 148 lagi mengalami kerosakan.
Selain itu, 225 buah kenderaan hangus terbakar, manakala 174 lagi mengalami kerosakan akibat bahang letupan dan serpihan kebakaran.
Khairudin berkata, anggaran kerugian itu juga adalah secara kasar berdasarkan laporan di media massa selain harga rumah di Putra Heights.
“Sukar sebenarnya untuk menilai, tetapi saya boleh katakan anggarannya lebih daripada sejuta ringgit. Ini bermakna beberapa ratus juta ringgit (secara kasar).
“Bayangkan sebuah rumah dua tingkat boleh mencecah hampir sejuta dan ke atas. Misalnya RM1.2 juta atau RM1.3 juta selain bergantung sama ada rumah itu telah diubah suai, rumah corner lot, rumah intermediate lot dan sebagainya,” katanya.
Khairudin yang juga bekas Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta berkata, daripada laporan diterima, ada kediaman yang tidak boleh lagi diduduki, manakala sebahagiannya memerlukan pembaikan.
Katanya, Putra Heights antara lokasi popular dan pilihan orang ramai untuk membeli rumah di kawasan itu sebelum ini.
Ini kerana ia berdekatan dengan lebuh raya, infrastruktur dan kawasan tempat bekerja seperti Shah Alam, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain terdapat kemudahan pengangkutan Transit Aliran Ringan.
“Bagaimanapun, insiden di Putra Heights telah membuka mata dan memberi kesedaran kepada banyak pihak khususnya rakyat Malaysia terhadap pembangunan yang pesat di situ.
“Ia membuatkan mereka lebih berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap bahaya yang boleh terjadi pada masa depan yang kita tidak boleh nampak,” ujarnya.
Ejen hartanah Transasia Property Consultancy Sdn. Bhd., Rais Yeop Johari berkata, beliau menjangkakan berlaku penurunan permintaan untuk pasaran sekunder di kawasan Putra Heights bagi tempoh di antara lima hingga 10 tahun susulan insiden itu.
“Saya berpandangan kawasan di situ akan kurang permintaan untuk pasaran sekunder. Sudah tentu permintaan landed di kawasan berisiko akan jatuh
“Kisah kawasan itu akan didokumentasi pernah berlaku letupan dan kebakaran besar. Dalam isu ini, soal keselamatan lebih utama daripada lokasi yang strategik,” katanya.
Menurutnya, pihak berwajib seperti pemaju, pihak berkuasa tempatan, Petronas dan lain-lain perlu memberi jaminan keselamatan yang holistik bagi mengembalikan keyakinan pembeli.













