“SEJUJURNYA saya langsung tidak pernah terlintas apatah lagi terfikir untuk bekerja dalam bidang pemasaran seperti sekarang ini.
“Dari kecil saya sukakan bidang kewangan dan sebab itu jugalah saya nekad sambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang tersebut untuk terlibat dalam dunia perbankan.”
Itu mukadimah berbentuk penegasan yang diberikan gadis muda berusia 27 tahun ini tatkala ditemui K-Wanita awal Ramadan lalu.
Menurut Ng Yi Jia, minat dan cintanya dalam bidang kewangan sudah timbul sejak kecil ketika berada di bangku sekolah.
Jelasnya, dia memang minat dengan angka serta nombor sekali gus menjadikan kewangan sebagai satu bidang yang dirasakan paling sesuai dengan dirinya.
“Usai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya sambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan dan Kewangan di salah sebuah universiti di London.
“Habis dan dapat saja ijazah, saya sambung lagi pengajian ke peringkat sarjana dan kali ini di New York University,” katanya yang kini terlibat dalam bidang pemasaran selaku Ketua Unit Transformasi Tomei.
Cerita Yi Jia, sejurus pulang ke tanah air, dia mendapat tawaran bekerja di sebuah bank tempatan di ibu kota.
Pun begitu, dia hanya sempat menabur bakti dan memberikan perkhidmatan hanya setahun kerana terkejut dengan persekitaran kerja dalam bidang itu.
“Jujur apabila sudah berkhidmat di bank, barulah saya tahu betapa stres dan bosan serta tidak bahagianya saya ketika itu.
“Selepas kerja di bank, saya cuba nasib dan cabar diri bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah agensi swasta dan ia juga berakhir tidak sampai setahun.
“Benar seperti dikata, apa yang kita belajar dan minat, kadangkala langsung tidak sama ketika kita bekerja dan itu apa yang berlaku kepada saya,” tuturnya.
Selepas melalui fasa ‘tertekan’ dan mencabar termasuk pandemik Covid-19 melanda, barulah dia mendapat tawaran daripada bapanya untuk bekerja dalam syarikat Tomei yang merupakan legasi bisnes barang kemas keluarga mereka yang telah berusia hampir enam dekad lamanya.
Jelas anak sulung daripada tiga beradik ini, dia ketika itu enggan berfikir panjang dan terus menerima tawaran tersebut sekali gus menyahut cabaran yang bakal mendatang.
Cerita Yi Jia, dia ditawarkan untuk memimpin sebuah unit baharu yang ditubuhkan ketika itu dan jawatannya adalah sebagai Ketua Unit Transformasi dalam syarikat barangan kemas terkenal tanah air, Tomei. Tomei diasaskan datuknya, Tan Sri Dr. Ng Teck Fong pada tahun 1968.
Yi Jia berkata, dalam unit tersebut, dia diminta dan berperanan mengawal selia perkhidmatan e-dagang (e-business) dan semua platform dalam talian Tomei.
“Ketika saya awal-awal sertai Tomei pada penghujung 2021, negara ketika itu baru sahaja pulih daripada pandemik maut Covid-19.
“Ketika itu, trend membeli dalam kalangan pelanggan kami juga berubah dan semuanya tertumpu kepada platform e-dagang atau online.
“Maka dengan itu jugalah saya ‘dicabar’ dan diberi kepercayaan memimpin unit dan pasukan baharu yang turut menjalankan tugas serta fungsi lain seperti produk, pemasaran dan jualan,” katanya.
Tambah Yi Jia, satu lagi sebab kenapa dia menerima tawaran sekali gus berkhidmat untuk perniagaan keluarganya itu adalah kerana dia juga salah seorang peminat barang kemas.
Katanya, sejak kecil lagi dan ketika bersekolah rendah, dia sudah didedahkan dengan dunia perniagaan dan saban minggu dibawa mengikut datuk serta bapanya ke premis jualan.
Akuinya lagi, barang kemas seakan-akan sudah menjadi sebahagian dan ‘best friend’ (kawan baik) dalam hidupnya sejak kecil sampailah ke hari ini.
Baginya, meskipun mempunyai pengalaman sebelumnya dalam bidang pemasaran, pun begitu suasana serta persekitaran kerja nyata berbeza dan ada cabaran tersendiri.

Jelas Yi Jia, antara cabaran utama dihadapinya adalah bagi menguruskan dan memimpin pasukan baharunya itu dalam usia yang begitu muda dan masih ‘hijau’ dari segi pengalaman.
Akuinya, tidak dinafikan perbezaan umur dalam kalangan pasukannya menjadi salah satu cabaran tetapi kerjasama yang diberikan menjadikan ia bukan satu perkara sukar.
“Memang tidak dapat dinafikan saya bekerja dengan mereka yang lebih berumur dan banyak pengalaman selain kepakaran tertentu. Bayangkan seorang wanita muda yang baru menyertai dan diberi amanah memimpin pasukan besar bukan satu tugas mudah dan main-main.
“Tetapi ia dapat dilaksanakan dengan kerjasama, semangat berpasukan dan komunikasi yang baik selain saling memerlukan antara satu sama lain dalam kerja termasuklah dengan unit lain,” katanya yang kini mempunyai lebih 30 kakitangan di bawah seliaannya.
Berkongsi cabaran lain, peminat sukan tenis dan larian ini menyatakan, dalam era digital ketika ini, syarikatnya turut perlu mengejar dan bergerak sama pantas selain bersedia menerima segala perubahan.
Justeru, unit di bawah seliaannya juga perlu memastikan syarikat dapat mengoptimumkan penggunaan platform digital kepada pelanggan sekali gus memberikan pengalaman terbaik, mesra dan memuaskan.
Pada masa sama, variasi produk yang diberikan dan ditawarkan di lebih 60 cawangan Tomei kepada pengguna juga perlulah lebih unik, berbeza dan mengikut kehendak semasa dalam usaha mengekalkan kerelevanan di pasaran.
Ditanya hala tuju syarikat terutama unit diterajui kini, anak muda ini mempunyai visi dan misi jelas dalam usaha memastikan bisnes keluarga yang dibangunkan terus menjadi jenama pelopor pilihan pengguna.
Jelasnya, Tomei akan terus menawarkan barang kemas bermutu tinggi serta perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan terus mengekalkan sebagai jenama pilihan utama.
Berkongsi mengenai kempen bersama pelakon jelita, Anna Jobling yang diberi nama Tomei Raya Keepsakes: Written in Gold hujung Februari lalu, Yi Jia menyatakan ia diilhamkan daripada seni tradisi Melayu.
Dalam acara yang diraikan penuh glamor di ibu kota baru-baru ini, Tomei hadir memperkenalkan rekaan menawan yang menggabungkan elemen klasik Kerawang Bunga dan Motif Flora yang dipersiap dengan kemahiran tinggi para artisan mereka.
“Koleksi ini juga menjadi penyatuan kepada inti pati seni tradisi Melayu dengan sentuhan moden dalam setiap rekaannya.
“Rangkaian koleksi utama yang dipersembahkan menerusi kempen kali ini adalah Anastasia, Dimond Cut, Sri Puteri, Prima Gold – Linen, Batu Permata dan Le-Lumire yang mempunyai setiap kelebihan dan ciri khas dan sesuai digayakan terutama pada Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Simpulnya, sebagai jenama terkemuka dan sinonim dengan kemewahan serta warisan, Tomei terus membuktikan bahawa setiap perhiasan bukan sekadar aksesori, tetapi menjadi lambang kasih sayang yang kekal abadi dan diwarisi sepanjang zaman.














