fbpx
Wajib balik kampung suami setiap kali hari raya jadi punca perceraian Nabila.- Gambar hiasan

K2

‘Suami, mentua buat saya macam anak yatim piatu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SYAWAL merupakan bulan untuk kita meraikan Hari Raya Aidilfitri selepas sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga.

Apabila sebut hari raya, sudah pasti kita terbayangkan suasana kemeriahan ahli keluarga dan sanak saudara menyambutnya di desa tercinta.

Momen indah tersebut sudah pasti dirindui oleh para perantau yang mencari rezeki jauh di kota.

Bagi seorang kakitangan swasta dari sebuah daerah di Selangor, Nabila Ahmad, 33, sejak bergelar isteri, kemeriahan suasana pada hari raya pertama sudah tidak lagi dirasai sehingga mahligai yang dibina runtuh pada tahun lalu.

Menurutnya, setiap tahun, dia wajib berhari raya di kampung suaminya di sebuah negeri di Selatan tanah air.

“Sejak tahun pertama bernikah hingga tahun ketiga, suami bertegas ingin beraya di kampungnya.

“Dia memberi alasan kami bekerja di Kuala Lumpur dan tinggal tidak jauh dari kampung saya di Selangor.

“Sikap ‘anak emak’ bekas suami menyebabkan kami sering bertengkar sepanjang bulan puasa pada setiap tahun, sedangkan itulah masa kita hendak beribadah dengan tenang,” katanya.

Nabila berkata, pada tahun pertama perkahwinan, sememangnya dia berhajat beraya di Selatan kerana ingin merasai suasana baharu.

Namun, pada tahun kedua, suaminya berkeras sehingga sanggup merajuk tidak bercakap kerana hendak beraya dengan keluarganya.

“Masa itu, saya sedang hamil enam bulan dan tidak larat naik kereta kerana kandungan semakin sarat.

“Namun, saya tetap akur mengikut suami pulang.

“Suami memberi alasan bahawa semua adik-beradiknya pulang beraya, maka dia perlu mencukupkan korum,” katanya.

Nabila yang masih bujang selepas bercerai berkata, dia beralah dengan suaminya demi memastikan kesihatan kandungan tidak terjejas.

Mengimbas kisah lalu, pada tahun kedua perkahwinan, sememangnya suaminya dan keluarga mentua beraya sakan, tetapi tidak bagi Nabila.

“Saya pun pelik kerana ibu mentua seperti tidak memikirkan perasaan saya yang masih mempunyai ibu bapa dan adik-beradik di kampung.

“Ibu bapa saya pula tidak mahu berkata apa-apa dalam isu balik kampung kerana bimbang ia akan mengguris hati menantu mereka,” katanya.

Setelah anak sulung mereka lahir, Nabila memberitahu, suaminya semakin kerap balik ke kampung tanpa mengira hari raya atau hari cuti biasa.

Cerita Nabila, suaminya selalu pulang pada hujung minggu untuk menghadiri kenduri yang dianjurkan keluarganya, walaupun setakat kenduri kecil seperti majlis cukur jambul anak saudaranya.

“Harga minyak naik pun, dia tidak peduli demi ingin menunjukkan sikap ‘anak emak’ dan kononnya dia ‘terpaling’ penyayang dengan anak buah.

“Saya tidak mahu dianggap isteri derhaka hanya mengikut sahaja dia pulang ke kampung. Walaupun dalam hati asyik berkata bukan-bukan,” katanya.

Walaupun Nabila sering membebel tentang isu balik kampung, namun suaminya hanya ‘memekakkan’ telinga seolah-olah ia perkara remeh.

Jelas Nabila, suaminya juga sering berjanji untuk pulang ke rumah ibu bapanya di Selangor pada Hari Raya Aidilfitri tahun berikutnya.

“Namun, pada tahun ketiga, dia (suami) mula mereka cerita bahawa ibu mentua saya tidak sihat sebab diabetes dan badannya lemah.

“Apa yang menyedihkan, apabila saya sampai ke rumah mentua, tidak ada tanda-tanda ibu mentua saya itu sakit terlantar. Boleh juga bergerak ke sana ke sini memasak pelbagai lauk-pauk,” ujarnya.

“Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu iaitu tahun keempat usia perkahwinan kami, saya dan suami bergaduh besar hingga suami melafazkan cerai kepada saya,” ujarnya.

Namun jelas Nabila, tiada sesalan mahu pun air mata pada dirinya kerana sikap ‘anak emak’ suaminya semakin melampau seolah-olah dirinya anak yatim piatu dan tidak mempunyai kampung halaman.

“Walaupun jodoh kami hanya empat tahun, saya reda dengan segala ketentuan yang Maha Esa.

“Suami ada minta rujuk balik tetapi hati saya telah terluka dengan kata-katanya semasa kami bertengkar.

“Dia cuba bermain tarik tali semasa mengesahkan lafaz talak yang kononnya ia dibuat semasa perut lapar pada bulan puasa,” katanya.

Nabila berkata, hak penjagaan anak menjadi miliknya dan bekas suami hanya boleh melawat mengikut jadual yang telah dipersetujui bersama.

Jelas Nabila, dia tidak akan pisahkan kasih sayang bekas suaminya dengan anak yang baru berusia tiga tahun.

“Selepas ini, jika ada jodoh, saya akan mencari pasangan yang sanggup bertolak ansur.

“Terutamanya dalam soal balik kampung beraya, ia mesti mengikut giliran bukannya mengikut perasaan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN