Saya sungguh bertuah kerana tempat tinggal dan pejabat dikelilingi dengan kawasan lombong yang sentiasa produktif jika diterjah dengan gewang.
Masa bukanlah satu penghalang. Di hujung minggu, cuti umum, malah saya sempat sahaja mencuri masa selepas waktu pejabat untuk mengilat sejam dua sebelum waktu maghrib menjelma.
Luang memancing saya menjadi lebih terbuka apabila mendapat surat pertukaran ke pejabat baharu di Tanjung Tualang, Perak. Perkara pertama yang bermain di fikiran ialah taburan lombong yang banyak di sana.
Spesies ikan pemangsa seperti toman, peacock bass, haruan dan sebagainya, tidak asing lagi buat penggemar aktiviti menggewang (mengilat). Kebetulan pula seorang sahabat saya iaitu Along atau dikenali di laman Facebook Syafiq Affandi Jajaludin ada membuat perkhidmatan memancing toman di lombong Air Papan di Tanjung Tualang ini.
Bagi saya, Along ialah seorang tekong yang mempunyai banyak pengalaman memancing toman dan pelbagai teknik baharu berjaya saya pelajari daripadanya.
Lombong ini istimewa buat kami, dan kami kini gelarkannya sebagai Lombong Royal Air Papan. Lombong Air Papan yang dimaksudkan terletak lebih kurang tiga kilometer dari Pekan Tanjung Tualang dan merupakan habitat kepada pelbagai spesies ikan pemangsa. Namun, setiap kali turun ke situ, kami akan fokus kepada mengilat ikan toman.
Mungkin ada sesetengah pemancing akan mengatakan kudrat ikan toman yang duduk di lombong tidak sekuat ikan toman yang tinggal di sungai atau di tasik empangan, tetapi berlainan pula dengan ikan toman di lombong ini.
Di sini ikan tomannya mempunyai tenaga dan daya juang yang amat tinggi. Ini berkemungkinan cukup dietnya seperti spesies ikan-ikan kecil lain yang turut menghuni lombong yang sama.
Set-set casting yang perlu digunakan ialah yang berkekuatan medium heavy (MH) atau heavy (H) dengan kekili yang mempunyai kekuatan drag lima kilogram ke atas.
Toman-toman di sini cukup padu membenam membawa gewang ke samai atau reba kayu untuk melepaskan diri membuatkan ramai pemancing yang datang kerap berputih mata.

Pertama kali
Pertama kali turun di sini hanyalah saya dan Along berdua menaiki bot aluminium. Seawal pukul 7 pagi kami telah berada di gigi air dan bersedia untuk menduga toman yang dikatakan cukup kuat dan bertenaga.
Saya membawa dua set casting iaitu joran Kuying Conqueror 14-30lb yang dipadankan dengan kekili Abu Garcia Big Shooter Compact dan joran Major Craft Days 12-20lb yang diregukan dengan kekili Daiwa Zillion 100SHL.
Permulaan pagi, kami kerap menggunakan gewang permukaan seperti pencil dan buzzbait serta soft plastic, namun kurang mendapat sambutan. Saya dan Along hanya mendapat beberapa sambaran, namun tidak berjaya merealisasikan cangkukan yang solid.
Hampir keseluruhan lombong kami jelajahi, namun masih tiada toman yang berjaya kami naikkan. Walaupun Along membawa ke lokasi-lokasi ‘panas’ iaitu berhampiran kandang itik tetapi kami masing-masing masih kumpau.
Rezeki mama toman
Hampir ke tengah hari, selepas beberapa kali mendapat sambaran tetapi masih tidak berjaya menaikkan toman, Along mencadangkan agar kami berubah lokasi ke satu suak yang dikatakan ada mama toman.
Benarlah seperti apa yang dikatakan, sampai sahaja, memang ada kumpulan anak toman sedang berkeliaran berhampiran pohon bakung air. Saya menggunakan gewang permukaan seperti pencil dan buzzbait tetapi tidak dihiraukan mama toman tersebut.
Setelah membelek kotak pancing, saya terus mengambil spinnerbait Strike King Lil’ Mr. Money yang kebiasaan saya gunakan untuk memancing haruan. Balingan pertama saya terus disambar mama toman dan kami masing-masing cuak kerana saiz gewang tersebut kecil dan ada kebarangkalian untuk lucut atau putus.
Seperti yang diduga, toman di sini memang mempunyai kekuatan yang luar biasa. Walaupun kebiasaannya mama toman tidak mempunyai tenaga yang kuat tapi kali ini ia benar-benar menekan kekili dan joran.
Setelah hampir lima minit berjuang, toman tersebut akhirnya berjaya saya naikkan. Kepuasan benar-benar terpancar di wajah kami kerana akhirnya badi kumpau berjaya dibuang. Kami meneruskan pancingan sehingga ke petang, namun tidak berapa memberangsangkan.
Along mengatakan mungkin faktor hujan lebat sehari sebelum kami turun menyebabkan toman-toman di sini agak kurang aktif. Tak mengapalah, inilah adat memancing, yang penting jangan berputus asa untuk mendapatkan strike.














