SABTU dan Ahad ini merupakan minggu terakhir ibu bapa akan berhabis duit untuk membeli pakaian raya anak-anak.
Minggu seterusnya kita akan berkampung di lebuh raya untuk pulang beraya ke kampung pula.
Di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur dikatakan suasana sesak teruk sejak dua minggu lalu hampir tidak bergerak apabila orang ramai berduyun-duyun mencari barangan raya di situ.
Ada juga yang mendakwa di Jalan TAR orang ramai hanya ‘mencari suasana’ sahaja apabila kebanyakan mereka tidak membeli apa-apa kerana harga di situ agak ‘keras’.
‘Keras’ atau tidak hanya anda yang mengenal manikam, jika sehelai baju di situ berharga mencecah RM200, dan kita suka apa salahnya membeli.
Ada yang kata kalau baju Melayu sepasang mencecah RM189, baik membeli di pasar raya dan butik terkenal sahaja.
Bercerita mengenai barangan raya, ada seorang kenalan bercerita mengenai dirinya yang lebih suka membeli pakaian raya sebelum Ramadan.
Baginya membeli sebelum bulan puasa boleh santai, tidak penat dan harganya lebih berbaloi.
Katanya, seluar jeans anak berusia 10 tahun boleh dibeli dengan harga RM35, paling mahal pun RM39 di pasar raya terkenal sebelum tibanya bulan Ramadan.
Selepas Ramadan, seluar yang sama harganya RM69 atau tawaran kombo RM120 untuk dua helai.
Sebenarnya itulah realiti yang berlaku sejak bertahun-tahun tanpa kita sedar, apabila permintaan tinggi di bulan Ramandan, tag harga pakaian juga bertukar angka.
Sama seperti upah menjahit baju kurung biasanya berharga RM60 hingga RM80 sepasang, tetapi akan menjadi lebih mahal upahnya jika baju kurung itu berwarna putih untuk dipakai ketika akad nikah.
Bercerita mengenai harga dan permintaan pasaran, itulah perkara yang setiap tahun kita terpaksa tempuh setiap kali musim perayaan yang mana harganya pasti akan melambung.
Selain pakaian kanak-kanak di pasar raya, perkara sama juga berlaku di butik-butik terkenal bagi pakaian siap untuk wanita.
Jika sebelum raya, harga sehelai baju kurung atau baju pesak adalah RM160 sepasang ketika bulan Ramadan harga pakaian sama menjadi RM267.
Jika mahu menjadi pengguna bijak, apa kata kita shopping raya siap-siap sebelum Ramadan, selesai barang sekolah anak-anak ketika pembukaan sesi persekolahan, kita boleh mula merancang membeli barang raya pula.
Ketika Ramadan bolehlah kita fokus buat sendiri kuih raya sahaja. Cubalah tip ini, banyak wang yang boleh kita jimat dan gunakan untuk perkara yang lebih berfaedah daripada kena tipu beli baju anak yang harganya mahal.
















