fbpx

Gadis tekap sudu panas pada empat kanak-kanak dipenjara 10 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI NURIN (tudung maroon) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi prosiding hukuman atas pertuduhan yang dikenakan. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP/ KOSMO!

SEREMBAN – Seorang gadis dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan penganiayaan fizikal terhadap kanak-kanak berusia lima dan enam tahun di sebuah pusat jagaan berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Puteri Nurin Amalin Ahmad Daud, 21, mengekalkan pengakuan bersalah bagi kesemua empat pertuduhan yang dibacakan semula dalam prosiding di dua kamar mahkamah berasingan.

Hakim Darmafikri Abu Adam dan Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Puteri Nurin Amalin selepas mengambil kira faktor pengakuan bersalah, umur dan laporan sosial yang dikemukakan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 5 September 2024 dan sekiranya gagal membayar denda tertuduh boleh dipenjara 20 bulan.

Tertuduh yang juga pesalah muda turut dikenakan perintah tambahan bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa cagaran sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Selain itu, mahkamah menetapkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan bagi setiap empat pertuduhan yang berjalan secara berturutan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Surita turut mengarahkan tertuduh mengikuti sesi kaunseling oleh pegawai Jabatan Khidmat Masyarakat bagi membantunya mengawal kemarahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI