fbpx
Antara plastik makanan dan botol berisi air kencing yang dibuang di bahu jalan di laluan susur masuk LTU dekat Kechau Tui, Lipis, semalam.

Belum raya, LTU sudah penuh sampah, air kencing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Kurang dua minggu sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, laluan susur masuk Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Kechau Tui terus dipenuhi sampah sarap akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya.

Tinjauan Kosmo! mendapati, longgokan sampah seperti plastik makanan, botol minuman, lampin pakai buang dan lebih menjijikkan, botol berisi air ken­cing dibuang sesuka hati di bahu-bahu jalan.

Bau busuk dan hancing turut memenuhi kawasan terbabit, mencacatkan pemandangan serta menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna lain.

Difahamkan, tindakan tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh sebahagian pengguna jalan raya yang pulang ke kampung pada hujung minggu baru-baru ini.

Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), masalah sampah masih berlarutan sehingga mengundang pelbagai tindakan terma­suk rasa tidak puas hati penduduk sekitar.

Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Faizal Hassan, 40, berkata, dia amat kecewa dengan keadaan itu dan berharap pengguna lebih prihatin terhadap kebersihan laluan berkenaan.

“Sakit mata memandang sebab banyak sampah. Sepatutnya kita sebagai pengguna jalan raya ada kesedaran untuk menjaga kebersihan.

“Laluan ini tiada tol, jadi itu sudah menjimatkan perbelanjaan, janganlah pula kita balas dengan sikap buruk seperti ini,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, tinjauan turut mendapati kerja-kerja meratakan tanah sedang giat dilakukan di kawasan sebelum susur masuk LTU tersebut bagi membina hentian Rehat dan Rawat (R&R) sementara.

Projek itu dijangka siap se­minggu sebelum Hari Raya dan bakal menyediakan kemudahan seperti tandas, tong sampah serta beberapa fasiliti lain untuk kemudahan pengguna.

Bagi penduduk, mereka berharap kewujudan hentian sementara ini dapat mengatasi isu sampah sarap dan pengguna jalan raya lebih berdisiplin dalam menjaga kebersihan.

Semua pihak juga diminta menggunakan kemudahan yang disediakan secara berhemah bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terjaga menjelang perayaan Aidilfitri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN