fbpx
Mohd. Nurul Hakim menunjukkan sotong gergasi di gerai Mee Beduk Sotong Godang di Bazar Ramadan Taman Suria, Johor Bahru baru-baru ini.

Sotong godang Argentina jadi pembuka selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Keunikan juadah selain menu makanan yang menyelerakan membuatkan Gerai Mee Beduk Sotong Godang yang terletak di bazar Ramadan Taman Suria di sini, jadi tumpuan orang ramai yang ingin menikmati hidangan istimewa.

Sekali imbas, gerai milik Mohd. Nurul Hakim Mohtar, 42, ini mungkin sama seperti gerai-gerai lain yang menawarkan mi goreng basah, mi sanggul dan kuetiau goreng.

Bagaimanamun, keistimewaan hidangan Mee Beduk Sotong Godang adalah ia dihidangkan bersama lauk sotong bersaiz gergasi dan udang galah.

Menurut Mohd. Nurul Hakim, dia menyediakan juadah berlai­nan daripada peniaga lain untuk menarik selera pengunjung bazar.

“Kami menyediakan sajian istimewa ini dengan masakan sotong godang dalam bahasa Ne­geri Sembilan membawa maksud besar.

“Sotong ini diimport khas dari Argentina, stok kita dapat dari pembekal di Kuala Lumpur sebelum dibawa dan dimasak khas untuk orang-orang Johor dan Singapura.

“Udang galah pula dibawa jauh dari Perak,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Taman Suria di sini baru-baru ini.

Katanya, setiap hidangan dijual pada harga antara RM30 hingga RM55 termasuk mi atau kuatiau, manakala udang galah pula RM25.

Peniaga berasal dari Mantin, Negeri Sembilan itu berkata, resipi khas diolah dan dimasak sempurna secara langsung digerainya bagi memastikan sajian disediakan segar dan berkualiti sekaligus memenuhi hati pelanggan.

Tambahnya, sebanyak 40 hingga 50 kilogram (kg) sotong digunakan dan 10 kg udang galah dimasak dalam sehari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN