fbpx
Nor Farah Ain berjaya menduduki ranking nombor satu dunia selepas meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024.

Misi boling padang lahirkan ramai jaguh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAYSIA sekali lagi mencipta sejarah dalam arena boling padang apabila Nor Farah Ain Abdullah berjaya menduduki ranking No. 1 dunia selepas meraih pingat emas dalam acara individu pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024.

Kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, malah membuktikan Malaysia memiliki asas pembangunan sukan yang kukuh.

Namun, cabaran terbesar kini adalah memastikan kejayaan itu bukan sekadar bersifat sementara, sebaliknya Malaysia perlu memperkukuh program pembangunan dengan memberikan lebih banyak pendedahan kepada pemain pelapis di pentas antarabangsa.

Ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh berkata, kejayaan Farah Ain tidak datang secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha jangka panjang dan program pembangunan berterusan.

“Kita memang sudah ada program pembangunan yang tersusun. Di peringkat akar umbi, kita ada program ‘Back to School’ yang bertujuan memperkenalkan sukan ini kepada lebih ramai pelajar dan meningkatkan jumlah pemain muda berbakat,” katanya.

Selain itu, Zuraidi menjelaskan setiap negeri mempunyai pasukan pelapis dengan kejohanan kategori umur bawah 12, 18 dan 25 diadakan untuk mencungkil bakat baharu.

Sejarah membuktikan Malaysia bukan asing dalam melahirkan jaguh boling padang kerana sebelum ini, negara pernah memiliki bintang seperti Siti Zalina Ahmad, Emma Firyana Saroji, Azlina Arsyad, Nor Hashimah Ismail dan Haslah Hassan yang berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Dalam kategori lelaki pula, nama seperti Izzat Shameer, Hizlee Abdul Rais dan Fairuz Abdul Jabal muncul sebagai pemain berbakat besar.

Zuraidi berkata, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada seorang pemain sahaja, sebaliknya perlu memastikan kesinambungan bakat baharu.

“Kalau kita lihat sukan lain, seperti badminton, kita susah nak cari pengganti selepas Lee Chong Wei. Tapi dalam boling padang, kita sentiasa ada pelapis. Kita ada pemain yang bagus, cuma sekarang kita perlu lebih ramai pemain bertaraf dunia seperti Farah,” ujarnya.

Menurut Zuraidi, cabaran utama dalam melahirkan lebih ramai jaguh dunia adalah pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Kita kena banyakkan perlawanan persahabatan dan pendedahan luar negara. Pemain-pemain ini perlu bertemu lawan yang lebih hebat,” katanya lagi.

Dia turut menjelaskan dalam masa terdekat, skuad boling padang negara akan menghadapi beberapa kejohanan utama sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Komanwel Glasgow 2026.

“Pasukan kita akan ke Filipina untuk Asia Bowls pada bulan April dan kemudian ke Kings Indoor di Aberdeen, Scotland. Selain itu, kita juga akan menyertai Kejohanan Dunia di Hong Kong pada bulan Disember,” katanya.

Kejayaan Farah Ain menjadi pemangkin semangat kepada generasi baharu pemain boling padang negara, membuktikan Malaysia mampu melahirkan jaguh bertaraf dunia.

Jika program pembangunan diteruskan dengan lebih agresif, tidak mustahil lebih ramai pemain Malaysia akan berada dalam kelompok terbaik dunia pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN