Bulan Ramadan adalah waktu yang dihadiahkan Allah kepada hambaNya bagi menjalani koreksi rohani. Bulan yang Allah janjikan pelbagai ganjaran jika kita menekuninya dan merupakan bulan turunnya Al-Quran seperti mana dalam firman Allah, ‘Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.’(Surah Al- Baqarah: 185).
Dalam bulan ini, kita dianjurkan untuk berpuasa, berzakat, dan meningkatkan amalan-amalan sunat. Pelbagai manfaat dapat diambil oleh umat Islam dengan kurniaan hadiah daripadaNya jika kita menjalani ibadah dalam bulan Ramadan dengan bersungguh-sungguh.
Antara manfaat besar yang diperoleh ialah, menjadikan umat Islam lebih berdisiplin, berjihad melawan hawa nafsu, dan menghargai segala nikmat kurnia Sang Pencipta. Nikmat besar yang sering dilupai adalah kesihatan, dan kesihatan pergigian adalah salah satu dari nikmat yang sering dilupai.
Gigi merupakan anggota badan yang terkuat dan memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Antara fungsi yang kita jarang syukuri sehinggalah kita kehilangannya adalah seperti peranannya ketika mengunyah, bercakap dan psiko sosial.
Tiga lapisan utama gigi ialah enamel, dentin dan pulpa. Kebanyakan masyarakat gemar menunda untuk mendapatkan rawatan pergigian pada peringkat awal lapisan gigi iaitu ketika di peringkat enamel atau dentin. Hanya pada saat gigi sudah rosak dan menghampiri pulpa, berlubang atau bergoyang maka barulah seseorang itu mula merasakan keperluan mendesak untuk mendapatkan rawatan.
Komplikasi kerosakan gigi jika tidak dirawat dari peringkat awal boleh membawa kepada sakit yang berterusan, bengak dan akhirnya kehilangan gigi terbabit. Bagaimanapun, atas faktor tahap kesedaran yang rendah tentang kepentingan gigi, masih terdapat ramai yang mengabaikan keperluan mendapatkan rawatan dan mengabaikan masalah pergigian sehingga membawa kepada komplikasi lebih teruk seperti peningkatan kos dan kesukaran rawatan.
Rawatan
Antara rawatan yang dikategorikan sebagai sukar dan kos tinggi adalah rawatan akar terutama gigi geraham, tanam gigi dan rehabilitasi mulut. Sebagai khalifah yang diamanahkan untuk mengurus tadbir alam ini, kita perlulah cakna terhadap persekitaran, lebih lagi kesihatan badan kita.
Secara umumnya, saiz gigi kacip dewasa bahagian atas adalah 8mm. Mungkin disebabkan saiznya yang kecil, maka masih ramai lagi masyarakat yang tidak cakna akan keperluan mencegah penyakit-penyakit mulut seperti gigi berlubang, gusi bermasalah dan sebagainya.
Maka, adalah menjadi kewajipan kita, untuk menjaga kebersihan dan kesihatan mulut kerana di dalam mulut kita merupakan tempat kewujudan koloni bakteria yang paling banyak. Matan hadis dari Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.’ (Riwayat al-Bukhari).
Justeru, pengabaian terhadap kesihatan gigi adalah satu perbuatan berdosa. Sesungguhnya, anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan atau dosa. Analogi dosa kita boleh dinisbahkan kepada gambaran gigi berlubang iaitu karies.
Berdasarkan kajian National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020, kadar kecendurangan orang dewasa di Malaysia untuk mendapat masalah karies adalah 85.1 peratus. Janganlah kita melihat angka yang tinggi ini sebagai ‘dosa kecil’ yang biasa dan sebati dalam diri dan masyarakat kita. Tetapi, renunglah untuk tidak terus terjerumus dalam lembah dosa dengan bertekad untuk tidak menyumbang kepada peningkatan peratusan bagi permasalahan tersebut.
‘Sesungguhnya Allah s.w.t suka kepada orang-orang yang bertaubat dan menjaga kebersihan.’ (Surah Al-Baqarah:222). Allah amat menyukai hambanya yang melakukan kesalahan dan bertaubat, memberi gambaran Allah masih memberi peluang kedua buat hambaNya membetulkan kesilapan lampau.
Begitu juga dengan kehadiran bulan yang mulia ini, memberi peluang kepada umat Islam untuk membaiki diri dari aspek rohani dan jasmani. Pembaharuan iman perlu dilakukan saban tahun memandangkan tahap iman kita ada pasang surutnya.
Manakala pembaharuan jasmani juga penting supaya kesihatan jasmani dapat dibendung untuk membolehkan kita fokus untuk melakukan ibadah dalam bulan Ramadhan ini. Pendidikan awal adalah penting untuk mendidik kanak-kanak menghargai gigi mereka.
Gigi susu akan mula diganti dengan gigi dewasa seawal usia 6 tahun. Pada usia kanak-kanak, penjagaan gigi mungkin terabai disebabkan faktor nutrisi, ketidakcanaan ibu bapa atau kesedaran dan motivasi kanak-kanak itu sendiri. Akibatnya,seringkali kes karies dan cabutan awal pada gigi susu berlaku. Hikmah di sebalik penggantian gigi susu adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak mahupun ibu bapa sendiri bagi menebus kesilapan dan dosa lalu dengan melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
Setitik dosa yang dilakukan, akan berubah menjadi setompok, lalu tompokan yang terbentuk akan menggelapkan hati. Perumpamaan ini sangat cocok dengan kejadian karies gigi yang terhasil dari tindak balas bakteria, ditambah dengan kehadiran gula yang terbentuk di atas permukaan gigi. Akhirnya, keseluruhan proses yang melibatkan masa, akan membentuk lesi putih yang jika tidak dirawat pada peringkat awal, akan membarah menjadi lekukan lubang yang semakin mendalam menghampiri struktur lain pada gigi terbabit.
Bagaimanapun, jika terdapat rawatan awal mahupun langkah pencegahan, struktur gigi itu boleh dimineralkan semula dengan kehadiran fluoride dan kembali menjadi struktur gigi yang kuat. Gambaran ini menerangkan bahawa, dalam noda dosa yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak, peluang untuk membaiki kesalahan dan kerosakan tetap terbuka luas.
Kalakian, serangan rohani yang tidak dirawat sudah pasti mampu membunuh iman seseorang. Maka, akan terpapar segala tanda-tanda hati yang sudah mati seperti tidak mampu untuk menyesali atas segala dosa yang dilakukan atau tidak berdukacita atas apa yang luput dari ketaatan kepada Illahi.
Simptom
Begitulah sebatang gigi, yang telah dijangkiti hingga bahagian pulpa dan sarafnya, akan memberikan simptom-simptom yang sangat tidak selesa seperti sakit yang boleh mengganggu tidur, bengkak dan bernanah yang boleh mengganggu rutin harian pesakit.
‘Setiap yang berjiwa pasti akan merasai kematian’. (Surah Ali-Imran: 185). Tahap yang dialami ketika berhadapan dengan sakaratul maut adalah satu keperitan yang tidak tertanggung. Hal yang sama dialami ke atas sebatang gigi berpunca daripada bakteria yang telah menembusi sistem saraf.
Azab kesakitan gigi pada peringkat ‘nazak’ ini boleh berlarutan sehingga gigi tersebut mati jika tiada tindakan diambil oleh pesakit. Tambahan pula, jika terus diabaikan, peluang untuk menyelamatkan gigi tersebut akan makin pudar hingga memerlukan kepada rawatan cabutan gigi.
Pilihan terakhir adalah cabutan gigi. Pilihan yang tidak mampu mengembalikan keaslian rasa kunyahan makanan walaupun digantikan dengan gigi palsu. Kehilangan gigi adalah satu situasi yang perlu kita kesali, namun masih boleh diganti dengan pilihan rawatan seperti jejambat, implan atau gigi palsu.
Pilihan di tangan kita untuk tidak menzalimi diri dengan pengabaian terhadap kesihatan mulut. Berdiri di hadapan cermin, buka mulut dan renungilah kondisi mulut dan gigi. Nisbahkan kepada gambaran dosa dan mungkin anda akan segera menutup mulut setelah menyedari kefasadan yang dilakukan terhadap gigi yang tidak berdosa.
Oleh itu, kita harus bijak mengambil peluang keemasan yang dianugerah Illahi ini. Penghayatan di bulan Ramadhan seharusnya diterjemah dengan kilauan iman dan dipantulkan menerusi keperibadian luaran yang mampu memberi kesan positif yang holistik. Bukan hanya untuk mengejar pahala, lebih penting bagi mendapat keredaanNya. – KOSMO! ONLINE
Dr. Abdul Azim Asy Abdul Aziz merupakan Pensyarah Pergigian, Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).














