SAUDARA PENGARANG,
KAEDAH Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) semakin popular dalam kalangan pengguna negara ini apatah lagi sewaktu musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Skim ini membolehkan pengguna membeli barang atau perkhidmatan dalam platform dalam talian terlebih dahulu secara ansuran, kebiasaannya tanpa faedah jika dibayar mengikut tempoh ditetapkan.
BNPL memang kemudahan yang mudah diakses dan tanpa perlu mengemukakan maklumat terperinci tetapi ia perlu dimanfaatkan secara berhemah.
Ukurlah baju di badan sendiri, jangan membuat pembelanjaan di luar kemampuan sendiri.
Jika tidak, kita akhirnya akan termasuk dalam perangkap hutang akibat gagal membayar ansuran BNPL mengikut jadual ditetapkan.
Ia juga akan memberi kesan negatif terhadap skor kredit pengguna yang menyukarkan permohonan pinjaman yang lebih penting seperti perumahan pada masa hadapan.
Paling penting, hentikan mentaliti biar papa asal bergaya kerana ia hanya akan membawa ‘bencana’ lebih besar.
DR. SITI NURAIN MUHMAD
KUALA NERUS














