fbpx
KAMARUL BAISAH memperkenalkan patung wayang kulit dan alat muzik yang mengiringi persembahan seni tradisi itu kepada orang ramai pada program yang berlangsung di Sunway University, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. – SHIDDIQIIN ZON

Eksperimentasi fusion wayang kulit Kelantan-Purwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALUNAN serunai yang nyaring memecah kesunyian diiringi hentakan gendang yang berirama, mencipta suasana mistik yang begitu sinonim dengan wayang kulit Kelantan. 

Dalam cahaya samar kelir (layar), bayang-bayang patung yang berukir halus mula menari, membawa penonton menyelami dunia cerita rakyat yang penuh magis.

Namun, terdapat sedikit kelainan pada persembahan wayang kulit  tersebut apabila ditambah dengan kemunculan watak-watak dari patung wayang kulit Purwa.

Menurut Tok Dalang, Kamarul Baisah Hussin, gabungan dua tradisi wayang kulit tersebut merupakan salah satu usaha untuk menyuntik nafas baharu kepada seni tradisional tersebut. 

“Secara tradisional, wayang kulit Kelantan mengikuti gaya penceritaan dan struktur muziknya sendiri, manakala tradisi Purwa dari Jawa, Indonesia membawa identiti budaya dan linguistik yang berbeza. 

“Namun, pada acara kali ini, kami  menggabungkan unsur daripada kedua-duanya ke dalam satu persembahan sebagai salah satu inovasi kepada wayang kulit tradisional,” katanya yang ditemui selepas membuat persembahan di  Festival Wayang Kulit Kelantan – Waye Kito di Sunway University, Subang Jaya baru-baru ini. Festival tersebut disokong Arts for All Seasons, sebuah program geran tahunan oleh Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan. 

Program tersebut juga merupakan satu inisiatif mempromosikan wayang kulit Kelantan sebagai sebahagian daripada pelan perlindungan. 

PERSEMBAHAN wayang kulit menjadi salah satu elemen tradisi yang perlu terus dipelihara. – GAMBAR HIASAN

Ini  selari dengan permohonan Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk mengiktiraf wayang kulit Kelantan sebagai sebahagian daripada Senarai Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan.

Ujar Pensyarah Fakulti Muzik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu lagi, percubaan menggabungkan dua tradisi ini adalah langkah awalnya dalam meneroka dimensi baharu wayang kulit.

“Walaupun ada golongan yang mungkin menentang perubahan terhadap bentuk tradisional, saya percaya gabungan ini boleh mencipta penghargaan baharu terhadap wayang kulit Kelantan dan Purwa,” katanya.

PERBEZAAN wayang kulit Purwa (kiri) dan Kelantan (kanan).

Sebagai rekod, wayang kulit Kelantan terkenal dengan muzik gendang, serunai dan gaya penceritaan unik yang dipengaruhi oleh budaya Siam. Ia menampilkan patung berukir halus dan penceritaan mitos serta epik rakyat.

Wayang kulit Purwa pula lebih berstruktur dengan elemen gamelan sebagai muzik pengiring dan terkenal di Johor dan Selangor. Patungnya lebih ramping dan panjang dengan naratif yang banyak berkisar pada epik Mahabharata dan Ramayana.

Dalam Wayang Kulit Kelantan, tok dalang duduk bersila di belakang kelir (layar) dengan kaki bersilang. Sementara wayang kulit Purwa pula, tok dalang  bersimpuh di hadapan kelir,” katanya. 

Kedua-dua tradisi ini ada keunikan tersendiri, tetapi penggabungannya boleh memperkaya seni persembahan wayang kulit dengan elemen baharu.

Pun begitu jelasnya, usaha untuk menghasilkan wayang fusion Kelantan-Purwa tersebut masih lagi di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN