PONTIAN – Udang kering dari Sabah menjadi rahsia kelazatan bubur lambuk 20 hari atau bubur lambuk Al-Kudus yang sentiasa dinanti oleh orang ramai apabila tibanya bulan Ramadan.
Pengerusi Masjid Jamek Kampung Parit Kudus, Asmuni Abdullah, 64, berkata, udang kering tersebut dihantar oleh seorang penduduk dari kampung ini yang bertugas di luar pesisir di Sabah.
Katanya, sebanyak satu kilogram udang kering digunakan sehari untuk memasak bubur lambuk selain di selang seli dengan ayam dan daging serta bahan-bahan yang lain.
“Enam petugas dilantik untuk memasak 20 kilogram beras setiap hari menggunakan sebuah periuk besar bermula pukul 8 pagi.
“Bubur lambuk ini dinamakan bubur lambuk 20 hari kerana aktiviti memasak bubur hanya dilakukan selama 20 kali sepanjang bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Parit Kudus, di sini semalam.
Tambah Asmuni, sebanyak 300 hingga 350 bungkus bubur lambuk mula diagihkan kepada penduduk setempat dan orang ramai yang melalui Jalan Parit Kudus ke Parit Selangor selepas solat zuhur.
Katanya, semua perbelanjaan bagi membuat bubur lambuk 20 hari ini disumbangkan oleh orang ramai sejak 30 tahun lalu. -KOSMO! ONLINE














