fbpx
KEADAAN di pintu Ketibaan Antarabangsa KLIA yang dipenuhi orang ramai termasuk ulat tiket yang mahu mencari penumpang. – FAIZ ALIF ZUBIR

Datang ke negara orang, buat onar di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini menjadi lubuk bagi warga asing mengaut keuntungan menerusi kegiatan ulat teksi yang dikesan semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Modus operandi ulat teksi ini ialah dengan menunggu di pintu ketibaan antarabangsa sebelum menghampiri penumpang-penumpang yang baharu tiba untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, ulat tiket warga asing ini akan menyasarkan pelancong dari negara sendiri bagi memudahkan perbincangan.

Bagaimanapun, Kosmo! tidak dapat mengenal pasti perbualan yang dituturkan mereka, namun ia dipercayai bagi menawarkan perkhidmatan penghantaran ke beberapa destinasi termasuk ibu negara.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya sindiket ulat teksi warga asing berdasarkan beberapa siri tangkapan sebelum ini.

Katanya, ulat teksi yang turut didalangi warga tempatan itu menyasarkan pelancong asing yang tidak mempunyai aplikasi e-hailing untuk mendapatkan perkhidmatan penghantaran.

“Sebenarnya ulat teksi ini mengenakan harga yang lebih tinggi berbanding perkhidmatan sah seperti teksi lapangan terbang dan e-hailing.

“Ulat teksi biasanya mengenakan caj penghantaran sekitar RM80 hingga RM150 untuk perjalanan ke ibu negara berban­ding teksi biasa iaitu sekitar RM65 hingga RM80 sahaja.

“Ada juga kes dilaporkan ulat teksi ini mengenakan caj sehingga RM300 bagi perjalanan antara KLIA ke Subang, Se­langor,” kata­nya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Azrin berkata, beberapa modus operandi turut dilakukan kumpulan ulat teksi itu bagi mengelakkan diri mereka dikesan pihak berkuasa semasa menawarkan perkhidmatan penghantaran itu.

“Pengawasan anggota JPJ sentiasa dibuat di KLIA apabila ada tangkapan dibuat menunjukkan ulat teksi itu menghantar penumpang secara tidak sah di negara ini.

“Jadi, ulat teksi ini akan mele­takkan kereta mereka di kawasan jauh seperti parkir bagi menge­lakkan diri mereka dikesan pihak berkuasa. Selepas itu, baru mereka bergerak ke pintu balai ketibaan,” katanya.

Susulan itu, Azrin berkata, kegiatan ulat teksi di KLIA berada dalam radar JPJ dan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh akan dilaksanakan mengikut perancangan yang te­lah ditetapkan.

Sementara itu, mengulas mengenai tangkapan dibuat JPJ terhadap ulat teksi di KLIA pada 2024, Azrin berkata, sejumlah 201 kes direkodkan dengan 169 kes merupakan kenderaan persendirian dan 32 kes pengangkutan awam.

“Bagi 2023 pula, kes ulat teksi direkodkan ialah sebanyak 161 kes melibatkan 146 kenderaan persendirian dan 15 kes pengangkutan awam.

“Jumlah denda dikeluarkan ialah sebanyak RM621,400 untuk 2023 dan RM638,500 pada 2024,” katanya.

Jelas Azrin, bagi memastikan kegiatan ulat teksi di KLIA dan KLIA2 tidak terus ‘membiak’, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan menggunakan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Sebenarnya, setiap hari ada pemantauan dan risikan, tindakan ulat teksi itu berada dalam radar JPJ memandangkan pengawasan dibuat 24 jam sehari.

“JPJ memandang serius ke­giatan bersifat pentingkan diri de­ngan mengaut keuntungan secara haram dan akan bertindak tegas bagi membendung kegiatan itu di KLIA,” tegasnya.

Jelasnya, ia bagi membanteras gejala negatif yang boleh mero­sakkan imej negara lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN