fbpx
Abd. Hamid menyampaikan sumbangan prihatin MBDK kepada isteri mangsa pokok tumbang, Siti Norwani Mohamed.

‘Saya belum fikir mahu saman MBDK’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Isteri kepada seorang peniaga kedai makan yang maut dihempap pokok tumbang di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda di sini, kelmarin, masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tindakan saman terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.

Siti Norwani Mohamed, 41, berkata, dia belum memikirkan perkara itu kerana masih bersedih di atas tragedi malang yang menimpa Aszehari Ansar, 46, selain perlu menguruskan dokumen berkaitan kematian suaminya dan kereta Mercedes Benz yang remuk sepenuhnya akibat dihempap pokok.

Katanya, ada beberapa pihak yang memintanya untuk mengambil tindakan tersebut ke atas Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), namun dia belum memikirkan untuk berbuat demikian

“Memang ada yang minta untuk saya ambil tindakan saman terhadap MBDK, tapi saya tidak mahu fikir hal itu dahulu.

“Ada beberapa perkara lain berkaitan urusan suami dan anak yang perlu saya uruskan sekarang ini,” katanya ringkas kepada Kosmo! ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6.31 petang itu, Allahyarham Aszehari meninggal dunia di lokasi keja­dian apabila tersepit dalam kereta jenis Mercedes Benz selepas mengambil anak perempuannya pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Bukit Kuda.

Anak mangsa, Nur Asyifa, 13, yang duduk di tempat duduk belakang kenderaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan diselamatkan oleh orang ramai.

Dalam pada itu, akar pokok beringin yang telah reput dipercayai menjadi punca pokok ber­kenaan tumbang sehingga mengorbankan mangsa.

Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, perkara itu diketahui hasil pemeriksaan terhadap pokok yang tumbang berkenaan.

“Kalau ikut kejadian petang Isnin itu, ada hujan dan ribut dan hanya sebahagian pokok yang tumbang. “Apa yang kami lihat, didapati akar pokok itu telah reput,” katanya.

Terdahulu, beliau melawat ahli keluarga Allahyarham Aszehari dan menyampaikan sumbangan prihatin MBDK berjumlah RM5,000 bagi urusan jenazah di Masjid Diraja Sultan Sultan Suleiman, di sini kelmarin.

Abd. Hamid memberitahu, kerja menyelanggara kesemua pokok di bawah selian MBDK dijangka bermula pada bulan hadapan ekoran baharu sahaja selesai melakukan proses sebut harga kepada kontraktor.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang menilai tawaran harga perkhidmatan daripada pihak kontraktor sebelum melantik 24 kontraktor untuk melakukan kerja berkenaan.

“MBDK mengeluarkan peruntukan berjumlah RM6 juta bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pokok yang mana setiap ahli majlis di kesemua 24 zon kawasan MBDK akan menerima peruntukan berjumlah RM250,000.

“Sebaik sahaja kontraktor ini dilantik, masa yang akan diambil untuk menyelesaikan menye­langgara pokok di kawasan MBDK adalah tiga hingga empat bulan,” jelasnya.
Abd. Halim memaklumkan, MBDK kini sedang melakukan rundingan dengan syarikat insu­rans bagi memberikan pampasan kepada keluarga Allahyarham melalui insurans liabiliti awam yang dibeli PBT itu.

Kosmo! semalam melaporkan seorang remaja mengalami pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayatnya apabila menyaksikan bapanya maut di depan mata apabila dihempap sebatang pokok besar dalam kejadian di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda di sini kelmarin.

Kejadian berlaku ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Jawa selepas mengambil Nur Asyifa dari sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN