Antara kebahagiaan seorang ayah apabila ada anak yang mempunyai minat sama. Ini berlaku kepada saya apabila anak kedua, Imran, 10, semakin tekun dalam arena mengilat. Dia semakin mahir menggunakan set kekili menegak dan sebagai hadiah saya membawanya mengilat ikan peacock bass (PB) di salah sebuah lombong di Perak.
Aktiviti memancing ini mempunyai risiko tersendiri, beberapa aspek keselamatan perlu diteliti. Oleh kerana pengembaraan kali ini kami menyewa bot, maka jaket keselamatan adalah wajib.
Bagi mengurangkan risiko ‘panahan’ terik matahari, kami memerlukan pemakaian topi, baju lengan panjang, seluar panjang, kasut dan cermin mata hitam. Pastikan juga bekalan air dan makanan mencukupi, selain kelengkapan tambahan seperti peti pertolongan kecemasan, krim sunblock dan spray penghalau serangga.
Trip
Air lombong naik dan agak keruh akibat limpahan dari Sungai Kinta, Perak. Kami memulakan lontaran menggunakan gewang pencil warna natural. Setelah beberapa kali mencuba, aksi senyap sahaja.
Perasaan hampa terserlah di wajah anak. Dia harus dipujuk untuk mengekalkan momentum.
Nasib menyebelahi apabila satu ‘letupan’ berlaku pada pencil Imran, namun libasan
peacock bass (PB) menyebabkan pencilnya tercampak dan ikan tidak lekat pada mata kail.
Terus pucat mukanya dan terketar-ketar tangannya akibat insiden tadi. Saya pantas mengundurkan bot dan menukar gewang minnow saiz 10 sentimeter (sm) yang berwarna lebih garang.
Imran menjadi lebih fokus dan balingan seterusnya disambut dengan rakus. Pertarungan bermula, namun ikan itu hanya menunjukkan badannya yang ‘sasa’ sebelum ia meronta dan terlucut.

Tempat PB berkumpul
Selepas itu, kami meronda ke beberapa lokasi kegemaran PB, antaranya di kawasan air masuk ke lombong. Di sini, kami menggunakan gewang jenis shad yang menyelam dalam. Target kami adalah serangan PB dari kawasan lurah. Beberapa ekor PB mengena gewang Imran, tetapi semuanya saiz kecil.
Kemudian, kami pergi ke pulau-pulau yang ditenggelami air. Kebiasaannya, tempat ini gewang minnow selaman cetek menjadi. Ia harus ditarik dengan lebih perlahan dan diikuti sentapan pendek (twitch) beberapa kali. Keadaan cuaca yang semakin panas menyebabkan ikan lebih gemar dengan ‘hidangan’ mudah, namun hanya saiz kecil sahaja yang sudi.
Lokasi terakhir kami adalah tanjung yang ditenggelami air.
Dari jauh, kelihatan sekumpulan ikan ‘raja’ sedang mengejar anak-anak seluang di celah-celah rumput.
Kami bertukar gewang kepada jenis sinking lipless. Oleh kerana cuaca mula mendung, saya menggunakan gewang berwarna chartreuse bagi memudahkan ikan melihat gewang tersebut.
Secara spontan, pelajaran mengilat ditunjukkan kepada anak dan saya dihadiahi seekor PB saiz ‘cantik’. Apa yang penting, saya dapat mengajar anak di ‘padang’ pancing yang sebenar bukan sekadar teori di rumah sahaja.
Berbeza bersama rakan, trip dengan anak lebih santai dan saya banyak berehat di tempat teduh. Ini kerana, waktu inilah yang paling sesuai untuk berkongsi pengalaman serta menjawab 1,001 pertanyaan diajukan oleh anak.
















