PASIR PUTEH – Pemandangan di Terusan Semerak di Tok Bali di sini, semakin tercemar dengan kehadiran sampah sarap yang hanyut dipercayai dibuang dari bot nelayan yang berlabuh di kawasan berdekatan sejak kebelakangan ini.
Tinjauan di beberapa jeti penda ratan ikan di Tok Bali turut mendapati, banyak sampah sarap berkumpul di tepi kawasan pelabuhan.
Seorang pemancing, Ismail Mamat, 44, berkata, botol plastik dan sisa buangan didakwa sengaja dibuang ke dalam sungai ketika bot nelayan berlabuh di beberapa jeti pendaratan ikan berdekatan.
Katanya, sisa buangan itu kemudian hanyut mengikut arus ketika air pasang dan surut selain berlonggok di tebing sungai.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini dipercayai dilakukan nelayan asing yang bekerja di atas bot tempatan kerana mengambil jalan mudah membuang sisa buangan merata-rata.
“Bagi pemancing di sini, kami juga berdepan masalah untuk melakukan aktiviti tersebut sebab biasanya yang kami dapat adalah sampah dan bukannya ikan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Seorang lagi pemancing, Daud Abdullah, 49, berkata, hasrat pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjadikan Tok Bali sebagai bandar maritim dan pusat transit pelancongan mungkin gagal dengan sikap pengotor nelayan terbabit.
Menurutnya, kerjasama PBT dengan pengusaha bot dan persatuan nelayan setempat amat perlu untuk memberi pendidikan kebersihan sungai kepada nelayan asing yang bekerja di negara ini.
“Kita berpuas hati dengan kebersihan di daratan, namun kebersihan dalam sungai juga perlukan tindakan drastik.
“Kita bukan sahaja berdepan lambakan nelayan asing yang berpeluang mencari rezeki di negara ini, tetapi turut berdepan masalah sampah yang mereka buang tanpa rasa bersalah,” katanya.














